ABDUL Harith (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Abdullah Mahmud bagi pembangunan dan pembuatan kereta nasional Indonesia.
ABDUL Harith (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Abdullah Mahmud bagi pembangunan dan pembuatan kereta nasional Indonesia.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Proton Holdings Berhad (PROTON) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam pembuatan dan pengilangan kereta nasional Indonesia.

Melalui MoU itu, kajian daya maju akan dijalankan bertujuan menerokai bidang tertentu bagi kerjasama antara dua syarikat itu termasuk potensi pembangunan dan pengilangan bagi projek di Indonesia.

Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya masih belum memperincikan mengenai bentuk pelaburan yang akan dilakukan syarikat kerana kajian daya maju hanya dijangka lengkap dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kami perlu menilai pelbagai perkara berkaitan seperti sumbangan Malaysia dan Indonesia serta jumlah kenderaan akan dihasilkan di kedua-dua negara bagi memastikan kelebihan kedua-dua negara dapat dimaksimumkan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Proton dan PT ACL, semalam.

Pada majlis itu, Proton diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah manakala PT ACL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Mahmud Hendropriyono.

Perjanjian disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo. Hadir sama Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Kerjasama itu dijangka menyaksikan Malaysia menyumbang sebahagian besar daripada kandungan pembuatan kereta nasional Indonesia itu sebelum kandungan tempatan ditingkatkan sehingga tahap yang dicapai Proton pada masa ini.

“Perkara ini memerlukan sedikit masa kerana kami sendiri mengambil masa 30 tahun untuk mencapai tahap ini namun kami terbuka untuk memberi latihan secepat mungkin kepada pekerja Indonesia dalam pelbagai bidang berkaitan bagi memberi pendedahan awal kepada mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau menjangkakan kerjasama itu akan memberi manfaat kepada Indonesia kerana pasaran negara itu berkembang pesat iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan dan dijangka Proton mampu mencapai sehingga empat juta melalui jualan dan pembangunan vendor.

Ketika mengulas mengenai kemungkinan menghasilkan kembali model sedia ada untuk pasaran Indonesia, beliau berkata, tidak semua kereta yang dihasilkan di Malaysia sesuai untuk pasaran luar berdasarkan pengalaman mengeksport beberapa model Proton di luar negara tahun lalu.

“Kami akan mengkaji permintaan kenderaan untuk pasaran di sana seperti pikap atau kereta dengan muatan tujuh penumpang. Peringkat awal, mungkin terdapat beberapa model sedia ada akan dieksport sebelum beralih kepada pemasangan di Indonesia dan seterusnya fokus kepada penghasilan komponen di sana untuk mencapai status kenderaan nasional Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:27 AM