Joko Widodo menaiki kereta Proton Iriz yang dipandu Dr Mahathir selepas menyaksikan MoU antara Proton dengan PT ACL  di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
Joko Widodo menaiki kereta Proton Iriz yang dipandu Dr Mahathir selepas menyaksikan MoU antara Proton dengan PT ACL di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh: Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam : Proton Holdings Berhad (Proton), syarikat pengeluar kereta nasional menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam pembuatan dan pengilangan kereta nasional Indonesia.

Melalui perjanjian itu, kajian daya maju akan dijalankan bertujuan menerokai bidang tertentu bagi kerjasama antara dua syarikat itu termasuk potensi pembangunan dan pengilangan bagi projek di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kerjasama terbabit baik untuk kedua-dua negara dalam membina produk untuk pasaran besar dengan menggunakan kelebihan syarikat yang memiliki kemudahan, keupayaan dan teknologi untuk mereka bentuk, membangun dan mengilangkan kereta, apatah lagi Proton adalah satu-satunya syarikat di rantau Asean memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman.

"Perjanjian ini memberikan permulaan baik kepada kedua-dua negara dan sebagai pemain utama automotif, kami mengalu-alukan kerjasama dengan PT ACL untuk manfaat bersama di mana ia akan membantu pelaburan serantau dan antarabangsa serta melonjakkan lagi aktiviti pasaran automotif dan pembangunan ekonomi,” katanya pada majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak di Pusat Kecemerlangan Proton, di sini, petang ini.

Proton diwakili Abdul Harith, manakala PT ACL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Mahmud Hendropriyono.

MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Indonesia Joko Widodo, Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad, Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 6:22 PM