DR Tan (dua dari kiri) melawat gerai pameran pada perasmian Program Pengkomersilan Hasil Penyelidikan LKM bertemakan Inovasi ke Pasaran (I2M), semalam.
DR Tan (dua dari kiri) melawat gerai pameran pada perasmian Program Pengkomersilan Hasil Penyelidikan LKM bertemakan Inovasi ke Pasaran (I2M), semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KEMENTERIAN Industri Utama yakin sektor koko tempatan mampu mencapai jumlah eksport sehingga RM6 bilion menjelang 2020.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Tan Yew Chong berkata, hasil kerjasama dengan beberapa agensi terutama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), pihaknya positif sasaran jumlah eksport berkenaan dapat dicapai.

“Kementerian positif bahawa sasaran RM6 bilion menjelang tahun depan dapat dicapai khususnya melalui pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk berasaskan koko.

“Sektor koko secara khususnya menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang RM1.44 bilion atau 0.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya pada majlis perasmian Program Pengkomersilan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia (LKM) bertemakan Inovasi ke Pasaran (I2M) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.

Program empat hari itu adalah siri pertama daripada tujuh siri yang dirancang dalam tempoh enam bulan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran mengenai proses pemindahan teknologi serta pengkomersilan khusus kepada penyelidik LKM.

Katanya, produk koko Malaysia seperti coklat mendapat perhatian tinggi dan menjadi penyumbang utama kepada eksport negara.

“Nilai eksport coklat pada lima tahun dahulu berjumlah RM500 juta dan ia telah meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun lalu.

“Oleh itu, selain penanaman komoditi sawit, kita mungkin boleh kembali kepada penanaman koko yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan yang baik,” katanya.

Setakat ini, LKM sudah menjalankan 89 projek penyelidikan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM54.4 juta.

Sejak 2014, sebanyak 19 produk dan teknologi LKM dikomersialkan dan turut mengenal pasti 63 produk hasil R&D seperti produk kosmetik, penjagaan diri dan makanan berpotensi untuk dipasarkan. Sementara itu, Norhalim berkata, pihaknya meninjau potensi pasaran negara luar baharu terutama di Asean dan negara Oceania.

“Setakat ini, ada produk berasaskan koko berjaya menembusi pasaran di Maghribi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:21 AM