Oleh Hafiz Ithin

Kuala Lumpur: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam bidang harta intelek di rantau ASEAN bagi memudahkan urusan pendaftaran dan menggalakkan perlindungan ke atas produk keluaran usahawan di rantau berkenaan.

Perkara itu sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memuktamadkan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 (AEC 2015) yang bakal dilaksanakan pada akhir tahun ini, sekali gus membantu negara anggota lain meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan harta intelek.

Pengerusinya Datuk Abdul Manan berkata, kerjasama itu dilakukan menerusi Komuniti Kerja ASEAN yang berjaya mewujudkan keseragaman dalam sistem memproses pendaftaran harta intelek dalam kalangan 10 negara ASEAN.

Beliau berkata, setiap negara ASEAN mempunyai kepakaran dalam segmen harta intelek masing-masing, misalnya Malaysia pakar dalam bidang paten, cap dagangan Filipina, pengetahuan tradisional Indonesia serta pembangunan sistem menerusi teknologi Singapura dan Thailand.

“Apabila AEC ini dapat dimuktamadkan, perdagangan di ASEAN akan menjadi lebih bersepadu termasuk dalam sistem harta intelek yang dilihat memudahkan pelabur asing dari rantau lain mendaftarkan produk atau jenama mereka di rantau ini memandangkan terdapat keseragaman dari segi proses dan akta yang diwujudkan.

“Selain itu, kita juga menggalakkan rakan ASEAN yang lain menyertai Perjanjian Antarabangsa dalam harta intelek bagi membolehkan penyeragaman lagi sistem dan proses berkaitan hal ini yang memudahkan ramai peniaga asing berniaga di rantau ini sekali gus membina kepercayaan mereka untuk terus melabur,” katanya di sini, baru-baru ini.

Abdul Manan berkata, walaupun komuniti kerja harta intelek di ASEAN sudah dibangunkan, namun perkara itu hanya tertumpu kepada isu proses dan akta yang mana isu melepasi sempadan negara dalam harta intelek masih belum ada perbincangan.

“Contohnya, jika satu syarikat mendafarkan produk atau jenama mereka di Malaysia, perkara itu hanya berkuat kuasa di sini saja dan tidak melepasi sempadan negara lain. Untuk tujuan perlindungan sepenuhnya di ASEAN atau negara lain, mereka perlu mendaftarkannya ke negara itu sendiri dan baru undang-undang perlindungan akan berkuat kuasa.

“Bagi tujuan mendaftar di satu negara dan kuasanya melepasi sempadan sememangnya sesuatu yang sukar kerana ia akan mengambil masa panjang bagi proses pengesahan di setiap negara serta menelan kos yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:45 AM