DR ZACHAU
DR ZACHAU

Kuala Lumpur: Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dapat mengukuhkan standard Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) untuk menjadi blok ekonomi yang lebih mampan dan kompetitif di rantau ini.

Pengarah Serantau Asia Tenggara Bank Dunia, Dr Ulrich Zachau berkata, negara anggota TPPA terdiri daripada keanggotaan yang berbeza dan penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan itu secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada pertumbuhan dan perkembangan AEC.

Menurutnya, TPPA dilihat begitu mencabar khususnya kepada negara ASEAN yang turut disertai Malaysia, Vietnam, Brunei dan Singapura kerana perjanjian dagangan itu juga banyak membabitkan isu berkaitan buruh serta harta intelek.

“Negara ASEAN lain dan tidak bersama-sama dalam rundingan TPPA itu masih menunggu bagi melihat apakah prospek ekonomi selepas perjanjian perdagangan ini dimuktamadkan kerana ia membabitkan empat negara anggota ASEAN.

“Malah, situasi ini menjadikan Thailand mula melihat potensi bakal diraih Malaysia dan Vietnam dalam TPPA daripada pelbagai aspek termasuk perdagangan serta pelaburan lebih bersepadu,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 di sini, semalam.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi ASEAN (ASLI) yang menghimpunkan peserta seperti pemain industri, pakar kewangan dan perbankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:02 AM