Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan usahawan tempatan terutama pemain industri kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk inovasi untuk dikomersialkan supaya membuat pendaftaran harta intelek bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas pada masa depan berikutan isu peniruan produk.

Ini berikutan jumlah pendaftaran harta intelek di kalangan syarikat tempatan terutama PKS masih lagi rendah berbanding syarikat asing apabila statistik dalam segmen cap dagangan antara Januari hingga Mei lalu menunjukkan hanya 4,678 syarikat tempatan membuat pendaftaran berbanding 7,622 syarikat asing.

Pengerusinya Datuk Abdul Manan Ismail berkata, dalam pendaftaran harta intelek Malaysia, terdapat enam jenis harta intelek yang boleh didaftarkan iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, reka bentuk susun atur litar bersepadu dan hak cipta.

Beliau berkata, jumlah pemohonan dan pendaftaran keenam-enam segmen harta intelek itu menunjukkan peningkatan dalam kalangan usahawan tempatan, tetapi peningkatannya dalam peratusan yang kecil dari tahun ke tahun.

“Antara isu yang dibangkitkan oleh usahawan tempatan adalah harga atau fi yang dikenakan oleh MyIPO terlalu mahal, tetapi sebenarnya harga yang dianggap terlalu mahal itu apabila mereka mengguna pakai perkhidmatan ejen yang mengenakan caj melebihi 100 peratus daripada yuran pendaftaran dikenakan oleh pihak kami.

“Contohnya, bagi cap dagangan, fi yang dikenakan ialah antara RM330 dan RM370 manakala, paten sebanyak RM260 dan RM290. Mereka boleh mendapatkan perlindungan harta intelek untuk jangka masa lama iaitu sehingga 25 tahun,” katanya.

Abdul Manan berkata, ketika ini terdapat lebih 400 ejen yang berdaftar dengan MyIPO bagi memudahkan usahawan yang ingin menyelesaikan segala urusan pendaftaran dan dokumen menerusi pihak ketiga berkenaan.

Katanya, sekiranya usahawan melihat caj dikenakan oleh ejen menjadi isu mereka tidak mahu mendaftarkan produk atau jenama mereka di bawah harta intelek adalah tidak wajar memandangkan kakitangan MyIPO sedia untuk membantu mereka menyelesaikan proses pendaftaran.

“Tempoh bagi memuktamadkan proses pendaftaran itu juga telah disingkatkan antara tiga minggu hingga enam bulan kerana setiap segmen yang didaftarkan, kami perlu melakukan proses penyemakan di seluruh negara.

“Sememangnya mendaftarkan produk atau jenama mereka di bawah harta intelek bukan sesuatu yang wajib, tetapi ia adalah keperluan untuk jangka masa panjang kerana ada antara usahawan tempatan berjaya mendapatkan hak mereka kerana isu peniruan yang akhirnya menguntungkan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 5:59 AM