Najib meletakkan logo ASEAN sebagai simbolik perasmian Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN 2015 sambil disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) dan Mohd Munir.
Najib meletakkan logo ASEAN sebagai simbolik perasmian Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN 2015 sambil disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) dan Mohd Munir.

Kuala Lumpur: Industri Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) terus menjadi tumpuan dalam pembentukan komuniti ekonomi Asean (AEC) dengan pelancaran rumusan teknologi kewangan, Asean Growth Accelerator Exchange (GAX) pada Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Asean 2015.

Majlis pelancaran itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam memenuhi keperluan komuniti syarikat PKS Asean menerusi e-kewangan dalam usaha melancarkan lagi operasi perniagaan mereka.

Pengerusi Majlis Penasihat ASEAN (ABAC) Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, rumusan itu digunakan untuk membangunkan infrastruktur digital bagi memenuhi keperluan komuniti PKS Asean.

Beliau berkata, GAX memudahkan akses kepada PKS yang berdepan cabaran mengehadkan keupayaan mereka dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Penyelesaian GAX akan mula berada di Malaysia terlebih dulu sebelum ia ditawarkan di negara ASEAN lain pada tahun depan.

“Kerjasama rapat antara kerajaan dan sektor swasta merentasi sempadan penting dalam merangsang pertumbuhan PKS di rantau ini,” katanya pada majlis pelancaran rumusan itu, di sini, semalam.

Misi ABAC adalah memastikan visi sebenar ASEAN untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mencapai kemajuan sosial.

Katanya, pelancaran GAX adalah kritikal dan langkah pertama sebenar untuk memacu akses PKS kepada kewangan dan pertumbuhan.

“PKS adalah tulang belakang ekonomi ASEAN dan mereka merangkumi 96 peratus syarikat berdaftar dan menyumbang antara 50 hingga 85 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara di rantau ini.

“Manakala, antara 43 hingga 97 peratus daripada populasi pekerjaan di negara serantau adalah dalam industri terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:15 AM