Dr Mohd Irwan menandatangani plak maskot ‘Super Squad’ di majlis pembukaan ABC Licensing 2015, semalam.
Dr Mohd Irwan menandatangani plak maskot ‘Super Squad’ di majlis pembukaan ABC Licensing 2015, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Persidangan Usahawan 1Asean (1AES) menjadi platform penting kepada usahawan komuniti Asean untuk merancakkan dagangan antara negara ahli yang kini mencatatkan RM13.2 trilion setahun menerusi pembabitan dalam industri kreatif dan kandungan yang dikenalpasti antara penjana ekonomi baru.

Industri yang mengandungi penjualan pelbagai produk runcit bercirikan nama dan watak kartun, logo serta jenama korporat dianggarkan mencecah RM1.06 trilion tahun lalu.

Setiausaha Agung Pembendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, bidang keusahawan adalah sebahagian daripada pembentukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang kini dalam proses dimuktamadkan dalam kalangan ahli rantau itu.

Beliau berkata, pembentukan AEC memberi manfaat kepada usahawan dalam kalangan negara ahli untuk meluaskan pasaran serta bertukar maklumat bagi mengukuhkan dagangan terutama dalam industri kreatif dan kandungan.

“Kita berharap pertumbuhan ekonomi dunia diterajui negara Asean dan dengan adanya perkongsian dalam penciptaan produk serta pengetahuan dalam bidang itu, sekali gus menembusi pasaran di luar rantau.

“Pada masa depan, dengan adanya pertumbuhan dan aktiviti keusahawanan agresif dalam ekonomi baru ini membantu Malaysia menjadi negara maju terutama apabila produk kreatif kita diperluaskan ke negara Asean lain tanpa ada halangan dagangan,” katanya pada majlis pelancaran Asean Brand Creative (ABC) Licencing 2015, di sini, semalam.

Tujuan acara itu yang dianjurkan sempena 1AES ialah menawarkan platform ideal untuk agensi pelesenan, pedagang, peruncit, usahawan, badan korporat dan pengguna sebagai peluang terbaik membabitkan diri meneroka francais, jenama dan pelesenan dalam dan luar negara.

Dr Mohd Irwan berkata, kerjasama dan penjenamaan bersama dalam kalangan peruncit dan pemberi lesen menjadi semakin popular di Asean yang boleh melancarkan barangan edisi terhad atau koleksi tertentu untuk dipasarkan di rantau ini.

“AEC Licensing 2015 diperkenalkan sebagai platform ideal untuk memiliki harta intelek mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta mengembangkan kandungan di peringkat Asean dan global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:03 AM