Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yakin pertumbuhan ekonomi antara negara ASEAN dapat ditingkatkan menerusi jaringan kerjasama yang terbentuk melalui Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), sekali gus membentuk sistem harta intelek (IP) yang lebih seragam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata, usaha untuk melaksanakan penyeragaman sistem IP itu bermula sejak 1996, namun dengan wujudnya blok dagangan AEC ini, ia adalah pemangkin untuk menjadikan harta intelek sebagai antara penyumbang kepada perkembangan ekonomi di rantau ini.

Beliau berkata, Malaysia yang berada di kedudukan kedua dalam kecekapan pengurusan sistem IP itu turut membantu negara anggota AEC lain dalam mengendali dan menyeragamkan sistem digunakan termasuk rundingan serta khidmat nasihat berkenaan sistem pengurusan maklumat yang digunakan.

“Apabila kita menggunakan sistem IP yang seragam bersama negara AEC lain, ia bukan sahaja dapat menarik minat pelabur luar ASEAN untuk melabur di rantau ini, malah ia berupaya memantapkan kedudukan ekonomi.

“Walaupun kita hanya mengendalikan pendaftaran seperti cap dagangan, paten, hak cipta, reka bentuk susun atur litar bersepadu dan perindustrian serta petunjuk geografi, namun ia dapat memberikan impak besar sekiranya tidak diuruskan dengan sistem yang cekap,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama Universiti Tempatan dan Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC). Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengarah Rantau Asia Pasifik, Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), Andrew Michael Ong.

TISC adalah projek yang menyokong agenda ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di samping Strategi Lautan Biru oleh MyIPO untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai inovasi dan harta intelek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:27 AM