Zhou dan Yang disatukan dalam majlis perkahwinan, baru-baru ini. FOTO Douyin
Zhou dan Yang disatukan dalam majlis perkahwinan, baru-baru ini. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Lelaki warga emas berusia 86 tahun di China meraih perhatian ramai apabila berkahwin dengan cinta pertamanya selepas beberapa dekad mereka terpisah.

Pengantin lelaki, Zhou Guilin, dari bandar Yiyang di wilayah Hunan, tengah China, melangsungkan perkahwinan itu pada 14 April lalu.

Kemesraan pasangan itu terserlah dan perkahwinan itu turut menjadi sensasi di media sosial negara itu.

Zhou pernah belajar dalam jurusan undang-undang di Universiti Peking, salah satu universiti paling berprestij di China.

Dia kemudiannya mengasaskan Sekolah Menengah Gaoping di kampung halamannya sebelum berkhidmat sebagai pengetua pertama sekali gus mendedikasikan hidupnya untuk pendidikan.

Pengantin perempuannya Yang Xiugui berusia 81 tahun, yang juga belajar di universiti sama pernah bercinta dengan Zhou semasa zaman belajar.

Walaupun hubungan mereka yang mendalam pada masa itu, mereka membawa haluan masing-masing dan terpisah beberapa dekad.

Guru yang mengajar di sekolah Zhou berkongsi kepada BaiLu Video, Zhou dan Yang masing-masing membina keluarga sendiri selepas berpisah.

Namun, selepas pasangan mereka meninggal dunia barulah kedua-duanya berhubung semula sebelum sepakat menghabiskan sisa hidup bersama.

Majlis itu berlangsung secara sederhana namun meriah termasuk puisi menyentuh hati menggambarkan kisah pasangan itu.

Semasa perayaan, pengantin perempuan dengan riangnya menari, menyanyi dan bermain gendang, menambahkan lagi suasana meriah tetamu yang berkumpul untuk meraikannya.

Seorang rakan pasangan itu, Chen mendedahkan, jamuan pasangan itu hanya dihadiri rakan rapat dan saudara mara, satu majlis resepsi kecil mengikut piawaian tradisional Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 11:36 AM