Stockholm: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Amerika Syarikat (AS) disahkan menghidap penyakit kencing manis sekali gus menjadi antara pesakit termuda di dunia menghidap penyakit berkenaan.

Dr Michael Yafi dari sebuah hospital di Houston, Texas, AS berkata, kanak-kanak itu mempunyai masalah obesiti dengan mempunyai berat mencecah 35 kilogram.

Katanya, dia mendapati kanak-kanak itu menghidap penyakit kencing manis yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.

“Keluarga kanak-kanak ini tidak menjaga pemakanan mereka dan mengambil makanan mengandungi kalori dan lemak tanpa kawalan.

“Ibu bapanya juga menghadapi masalah obesiti, tetapi mereka dan ahli keluarganya yang lain tiada sejarah penyakit kencing manis,” katanya.

Yafi berkata demikian ketika membentangkan kes kanak-kanak itu di persidangan Persatuan Eropah untuk Kajian Diabetes di sini baru-baru ini.

Katanya, sebagai rawatan dia memberi kanak-kanak itu ubat untuk mengawal kandungan gula dalam darah dan menasihatinya supaya menurunkan berat badan.

“Selepas enam bulan, berat kanak-kanak ini berjaya diturunkan sembilan kilogram dan kandungan gula dalam darahnya menghampiri paras normal,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 7:37 AM