PEMAKANAN tidak seimbang meningkatkan berat badan.
PEMAKANAN tidak seimbang meningkatkan berat badan.
UKUR lilit pinggang dapat menentukan sama ada seseorang obes.
UKUR lilit pinggang dapat menentukan sama ada seseorang obes.
BERAT badan melampau menyebabkan tubuh tidak cergas.
BERAT badan melampau menyebabkan tubuh tidak cergas.

Jika diperhatikan di sekeliling kita, secara sedar atau tidak, kita akan dapat melihat dengan jelas semakin banyak kewujudan pusat hemodialisis, tidak kira sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Ia secara tidak langsung seakan-akan memberi amaran halus kepada kita semakin ramai rakyat di negara ini menderita masalah buah pinggang dan terpaksa mendapatkan rawatan dialisis untuk meneruskan hidup yang berkualiti.

Biarpun mesin hemodialisis mungkin boleh membantu menyingkirkan sisa dari tubuh serta mengimbangkan kadar elektrolit dan mineral, ia tidak mungkin dapat menggantikan semua fungsi penuh buah pinggang.

Pakar Nefrologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur Dr Nirmala Devi Baskaran berkata, penyakit buah pinggang kronik kini semakin meningkat di Malaysia.

Menurutnya, laporan Malaysian Dialysis and Transplant Registry pada 2014 mendedahkan 35,000 pesakit menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir dan sedang menjalani rawatan dialisis di negara ini.

“Daripada jumlah ini, 61 peratus asalnya daripada penyakit kencing manis. Hampir 50 peratus pesakit yang memulakan rawatan dialisis pada tahun ini akan berada dalam lingkungan usia produktif iaitu antara 25 hingga 55 tahun.

“Kencing manis boleh dikatakan wabak yang melanda negara kita sejak kebelakangan ini. Daripada kaji selidik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan Malaysia yang dijalankan setiap lima hingga 10 tahun, didapati peratusan rakyat negara ini yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi semakin meningkat.

“Ini adalah kesan daripada gaya hidup kita iaitu pemakanan secara melampau dan kurang bersenam yang membawa kepada 60 peratus rakyat Malaysia berada dalam lingkungan obes,” katanya.

Kegemukan melampau atau obesiti bukan setakat memberi impak negatif dari segi penampilan seseorang, tetapi juga menjejaskan kesihatan tanpa mengira latar belakang dan usia.

Pada zaman serba moden dan kehidupan yang semakin selesa, kurang melakukan aktiviti riadah dan mewah dengan pelbagai pilihan makanan berkalori tinggi menyebabkan semakin ramai tergolong dalam kategori obes.

Penyebab kegagalan buah pinggang

Ramai yang melihat obesiti dari segi kosmetik saja, tetapi mereka kurang peka keadaan itu turut membawa bersama pelbagai masalah kesihatan serius dan boleh menjejaskan fungsi organ dalaman.

Menurut Dr Nirmala, obesiti ialah satu daripada penyebab utama kepada masalah rintangan insulin dan kencing manis jenis 2. Jika dulu diabetes dianggap penyakit orang berusia, kini ia semakin banyak mengancam golongan muda seawal usia 20-an.

Pada masa sama, katanya, masalah rintangan insulin dan kencing manis jenis 2 boleh dihidap bertahun-tahun tanpa sebarang tanda pada tahap awalnya.

“Penyakit kencing manis membawa kepada tahap gula berlebihan dalam darah. Apabila tahap gula darah yang tinggi berterusan selama bertahun-tahun, ia akhirnya menyebabkan kerosakan pada saluran darah halus dalam badan pesakit.

“Lama-kelamaan ini akan membawa kepada kerosakan pada organ yang menerima bekalan darah dari salur halus ini termasuk kulit, saraf, mata, buah pinggang, jantung dan otak.

“Penyakit diabetes boleh dikenal pasti sebagai penyumbang kepada komplikasi yang berlaku pada organ terbabit biarpun ia mungkin baru saja dikesan pada pesakit,” katanya.

Menurut Dr Nirmala, memandangkan diabetes jenis 2 mungkin sudah lama dihidap sebelum dikenal pasti, penting untuk semua pesakit yang baru dikesan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesan komplikasi ketika diagnosis dibuat.

Katanya, dari segi buah pinggang, pemeriksaan membabitkan saringan air kencing untuk protein serta anggaran fungsi buah pinggang melalui ujian darah.

“Pengesanan protein dalam air kencing adalah bukti kerosakan pada buah pinggang dan tanpa rawatan sesuai, ia boleh membawa kepada kemerosotan fungsi buah pinggang secara berperingkat.

“Penyakit buah pinggang akibat kencing manis, ataupun diabetic nephropathy (DN) ditakrifkan sebagai kehadiran berterusan protein dalam air kencing penghidap kencing manis. Kebanyakan pesakit turut mengalami gejala pada mata dan tekanan darah tinggi pada masa sama.

“DN membabitkan 35 hingga 40 peratus pesakit yang menghidap kencing manis jenis 1 dan 15 hingga 20 peratus pesakit kencing manis jenis 2. Faktor yang menambah risiko DN ialah bangsa, riwayat keluarga yang mengidap DN, tahap gula yang tidak terkawal dan tahap protein dalam kencing yang tinggi,” katanya.

Dr Nirmala berkata, bukan hanya pakar buah pinggang tetapi setiap doktor yang merawat pesakit kencing manis akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan, mengenal pasti dan merawat DN pada tahap awal.

Menurutnya, doktor juga memainkan peranan penting dalam menambah ilmu pesakit dan menasihati mereka supaya sentiasa mematuhi rawatan ditetapkan dan menjalani pemeriksaan susulan untuk mengelak komplikasi pada masa akan datang.

“DN boleh dielak ataupun dirawat melalui kawalan ketat tahap gula dalam darah. Kawalan tahap gula paling penting semasa peringkat awal penyakit. Ini boleh dicapai dengan menjaga pemakanan dan mengambil ubat ikut arahan dan keperluan.

“Selepas beberapa tahun, pesakit kencing manis jenis 2 mungkin memerlukan insulin untuk mengawal tahap gula. Sasaran untuk tahap gula dan HbA1c bergantung kepada umur dan tahap kesihatan pesakit, iaitu antara 6.0 hingga 6.5 mmol/l untuk pesakit yang muda dan sihat, serta 7.0 hingga 7.5 mmol/l untuk yang tua ataupun berisiko hypoglisemia,” katanya.

Selain itu, kataya, tekanan darah yang tinggi adalah satu daripada tanda DN peringkat tiga dan biasanya timbul selepas pesakit menghidap kencing manis jenis 1 selama lapan hingga 10 tahun namun bagi kencing manis jenis 2, ia mungkin sudah berlaku pada masa penyakit kencing manis mula dikesan.

Menurut Dr Nirmala, tekanan darah yang tidak terkawal mempercepatkan kemerosotan fungsi buah pinggang. Sasaran untuk tekanan darah ialah di bawah 130/80mmHg dan boleh dicapai menggunakan pelbagai ubat darah tinggi.

Katanya, ubat yang disyorkan adalah daripada kumpulan Angiotensin Converting Enzyme Inhibitors (ACEi) dan Angiotensin Receptor Blockers (ARB) kerana ia boleh turut mengurangkan kebocoran protein dalam kencing.

“Kencing manis dan DN menambahkan risiko gejala seperti serangan jantung dan strok yang mengurangkan jangka hayat pesakit kencing manis. Oleh itu, tahap kolesterol juga perlu diperiksa dan dirawat sekiranya tinggi.

“Pesakit sendiri perlu mengamalkan cara hidup yang sihat iaitu mencapai berat badan ideal, pemakanan rendah kandungan garam, minyak dan protein, berhenti merokok selain melakukan senaman secara konsisten.

“Pesakit perlu ber­tanggungjawab ke atas kesihatan sendiri dan cuba menambah ilmu mengenai penyakit yang dihidapi.

“Pada masa sama, menjadi tanggungjawab hospital dan kerajaan memerangi penyakit ini kerana ia membabitkan generasi muda dan memberi impak besar kepada pesakit, keluarga, komuniti dan ekonomi negara,” katanya.

Apakah itu obesiti?

Kiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI) = Berat (kg) / (Tinggi (m) x Tinggi (m))

- BMI 18.5 - 25 : Berat berpatutan

- BMI 25 - 30 : Lebih berat badan

- BMI 30 - 35 : Obes

- BMI 35 : Sangat obes

Ukur keliling perut 80sm (perempuan), 85sm (lelaki): Obes

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:12 AM