OBESITI menjadi cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia.
OBESITI menjadi cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI masih tidak menganggap obesiti sejenis penyakit meskipun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengklasifikasikannya sebagai penyakit kronik dan epidemik.

Senario ini menyebabkan lebih ramai tidak mengambil serius mengenai masalah obesiti.

Obesiti adalah salah satu daripada cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia.

Ia mencatatkan kadar prevalen tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, 50.1 peratus populasi dewasa di Malaysia dilaporkan mengalami berat badan berlebihan iaitu 30.4 peratus atau obes (19.7 peratus).

Obesiti juga dikaitkan dengan lebih 200 penyakit kronik lain termasuk kardiovaskular, kencing manis, muskuloskeletal dan barah.

Selain itu, ia meningkatkan risiko kencing manis jenis dua sebanyak tujuh kali ganda bagi lelaki dan 12 kali ganda bagi perempuan.

Pandemik Covid-19 juga menunjukkan mereka yang mengalami obesiti mempunyai 240 peratus peningkatan risiko dijangkiti Covid-19 yang lebih parah.

Obesiti bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu dan komuniti, malah turut mengakibatkan implikasi lebih besar kepada sistem kesihatan serta ekonomi.

Pada 2017, kos berat badan berlebihan dan obesiti mencecah 13.3 peratus daripada jumlah kos kesihatan dan 0.54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia atau US$1.7 bilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini tidak termasuk kos berkaitan pengurangan produktiviti, kehilangan upaya dan ketidakhadiran di tempat kerja.

Di samping peningkatan kadar obesiti dalam kalangan dewasa, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia turut meningkat pada kadar yang membimbangkan dengan 29.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun mengalami berat badan berlebihan (15.0 peratus) atau obes (14.8 peratus).

Keadaan ini memberikan kesan lebih besar kepada kanak-kanak, komuniti berdekatan dan sistem kesihatan secara umumnya.

Ini disebabkan risiko mereka untuk menghidap penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan kencing manis pada usia muda adalah lebih tinggi.

Selain itu, terdapat juga impak sosial dan perkembangan negatif kepada kanak-kanak yang mengalami obesiti seperti pencapaian akademik rendah dan keyakinan diri lebih rendah akibat dibuli.

Menangani masalah obesiti adalah perkara yang rumit. Obesiti adalah perkara yang diketahui dan diakui hampir semua orang.

Namun, ramai yang berasa lebih selesa untuk menafikan atau mengabaikan perkara itu.

Banyak tindakan dilakukan untuk menangani obesiti daripada segi pemakanan.

Ini termasuk pengenalan cukai gula pada 2019 dan membangunkan Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 pada 2021.

Namun, terdapat kerumitan daripada segi penjagaan kesihatan dan pengurusan oleh individu yang mengalami obesiti.

Pengurusan klinikal obesiti di Malaysia tidak mencukupi untuk menangani pelbagai aspek berkaitan obesiti.

Apabila individu obesiti mengambil langkah mendapatkan rawatan, mereka diberikan terapi yang merangkumi diet dan senaman, ubat, rawatan tak invasif dan pembedahan.

Bagaimanapun, bilangan hospital awam yang menawarkan perkhidmatan berkaitan obesiti adalah terhad.

Akibatnya, pesakit tidak mendapat penjagaan menyeluruh untuk menguruskan dan penjagaan obesiti yang berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 6:20 AM