Siti Zarinah Sahib


Teringat kisah rakan penulis yang mempunyai anak montel dan tembam sejak kecil. Jika diikutkan dalam sejarah keluarga ibu dan bapanya mempunyai ukuran badan sedang-sedang sahaja.

Namun sejak berusia tiga tahun dia diberi makan apa saja. Malah sudah mula mengenali makanan segera, itu belum termasuk coklat, kek dan minuman berperisa coklat yang menjadi kegemarannya.

Apabila dibawa keluar memang kanak-kanak ini nampak sangat comel, sehinggakan ramai memuji. Namun apa yang menjadi masalah ialah berat badannya terus bertambah sehingga pada usia lima tahun mencecah 25 kilogram! Ibunya mulai risau apabila doktor menasihatkan agar dia perlu menjaga pemakanan kerana dikhuatiri keadaan itu mengundang penyakit.

Untuk menyekat anak kecil pada usia begitu muda daripada mengambil makanan kesukaannya tentulah amat sukar. Apa yang boleh dilakukan adalah mengehadkan pengambilan makanan segera kepada hanya sekali seminggu dan menukar snek kepada yang lebih sihat.

Kebanyakan ibu bapa berasa gembira apabila anak mereka dikatakan montel dan comel. Tetapi ramai tidak tahu kemontelan ini kebiasaannya berkekalan sehingga dewasa. Lebih memburukkan keadaan ialah risiko serangan penyakit yang tidak mengenal usia.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2011 (NHMS) menunjukkan 5.4 peratus atau 477,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di Malaysia adalah obes atau satu daripada lima kanak-kanak mengalami obesiti. Tinjauan ini tentulah amat membimbangkan kerana 80 peratus kanak-kanak obes akan kekal gemuk sehingga dewasa.

Ini diakui Pakar Perunding Kanak-kanak dan Pediatrik Endokrinolgi Dr Muhammad Yazid Jalaludin ketika sesi perbincangan meja bulat bertajuk Membesar Tanpa Gula Tambahan anjuran Fonterra baru-baru ini yang menegaskan bahawa rumusan NHMS 2011 itu perlu diambil perhatian. Ini kerana kegemukan dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Kanak-kanak obes ini menjadi dewasa obes suatu hari nanti. Inilah yang perlu dibimbangkan kerana obesiti membawa pelbagai masalah terutama sindrom metabolik, implikasi kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan jantung serta diabetes. Tanda masalah kesihatan dapat dilihat menerusi leher dan ketiak yang kehitaman disebabkan kolesterol yang tinggi,” katanya.

Sikap ibu bapa rangsang anak jadi obes

Menjelaskan lebih lanjut, kegemukan dalam kalangan kanak-kanak secara dasarnya dibentuk oleh ibu bapa, keluarga atau penjaga bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan yang diambil dalam diet seharian.

Namun tidak dinafikan terdapat faktor luaran yang memainkan peranan membentuk tabiat pemakanan kanak-kanak seperti pengaruh rakan sebaya, gaya hidup dan genetik.

“Pemakanan menjadi punca utama khususnya makanan mengandungi gula tambahan menyumbang kepada masalah obesiti. Kurang aktiviti fizikal sama ada di rumah atau di sekolah menyebabkan peluh tidak dikeluarkan.

“Pengumpulan lemak akibat tidak bersenam ini menyebabkan berat badan bertambah. Oleh itu, ibu bapa harus memberikan yang terbaik untuk anak mereka. Sejak dilahirkan pemberian susu ibu selama enam bulan secara eksklusif kemudian diteruskan kepada dua tahun mampu mengelak masalah obesiti,” katanya.

Menurut Pakar Pemakanan Indra Balaratnam, bagi melahirkan generasi yang sihat masyarakat khususnya ibu bapa perlu diberi kesedaran mengenai pengambilan gula dalam diet harian kanak-kanak. Kanak-kanak sememangnya memerlukan nutrisi mengandungi karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral untuk pertumbuhan fizikal dan mental.

“Apabila mereka mendapat cukup khasiat perkembangan mental dan fizikal akan berlaku seiring. Pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit nutrien tertentu boleh menyebabkan masalah seperti kurang berat badan, anemia, dan obesiti,” katanya.

Kanak-kanak pada usia dua hingga 10 tahun perlu mendapat semua khasiat makanan yang terkandung dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berprotein tinggi seperti produk tenusu dan kaya karbohidrat. Untuk lebih jelas, rujuklah pada piramid makanan.

Piramid Panduan Makanan menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan yang perlu diambil setiap hari. Apa yang boleh dilakukan ibu bapa ialah memilih dan pelbagaikan rasa, tekstur dan bentuknya dalam setiap sajian anak anda. Namun apa yang menjadi masalah adalah amalan pemakanan kurang sihat dengan sajian mengandungi banyak gula dan lemak yang tinggi seperti mufin, coklat, roti, donut, gula-gula, agar-agar, aiskrim, biskut serta minuman berkarbonat.

“Kanak-kanak sepatutnya diberi lebih banyak hidangan mengandungi sumber gula semula jadi yang turut dikenali sebagai glukosa, fruktosa dan laktosa seperti susu segar, buah-buahan dan sayur-sayuran. Namun ibu bapa di negara ini sering membiarkan anak menikmati hidangan mengandungi gula tambahan atau turut dikenali sirap jagung solid, sukrosa dan sirap glukosa solid dalam kadar tinggi.

“Keadaan negatif ini bukan sahaja mengakibatkan anak mengalami obesiti, tetapi juga kerosakan gigi, kekurangan nutrien dan lebih teruk, penyakit kencing manis,” kata Indra.

Kesibukan kerja tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyediakan makanan berkhasiat buat si kecil. Ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam mengenai makanan yang dibeli di luar.

Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak. Elakkan memberikan ganjaran makanan seperti coklat atau aiskrim apabila anak berjaya melakukan sesuatu.

“Sebaiknya bawa si kecil ketika anda membeli-belah dan terangkan kepadanya mengenai makanan yang elok diambil atau sebaliknya. Ceritakan juga mengenai panduan membaca label makanan,” katanya.

Tidak perlu gula tambahan

Mengenai jumlah gula yang terdapat di dalam makanan pula, Indra berkata, secara amnya kebanyakan makanan yang diambil setiap hari terutama makanan yang diproses sudah sedia mengandungi gula.

Kebanyakan jenis makanan termasuk buah-buahan dan susu turut mengandungi gula semula jadi, justeru gula tambahan sememangnya bukan lagi satu keperluan.

“Sukatan pengambilan gula dan jumlah gula tersorok yang diperlukan oleh setiap individu berbeza mengikut usia termasuk kanak-kanak. Kanak-kanak berusia dua hingga 10 tahun biasanya tidak memerlukan lebih daripada tiga hingga empat sudu teh gula tambahan sehari, manakala kanak-kanak yang berusia antara 11 hingga 18 tahun tidak memerlukan lebih daripada lima hingga lapan sudu teh gula tambahan setiap hari.

“Jika tidak dikawal, pengambilan gula secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dikhuatiri mengundang pelbagai penyakit berbahaya, termasuklah berat badan berlebihan atau obesiti, diabetes, karies gigi dan kekurangan mikronutrien,” ujarnya.

Menurut Pengarah Pembangunan Produk, Saintifik dan Hal Ehwal Perundangan, Fonterra Brands Malaysia Megawati Suzari, pihaknya sentiasa memberi komitmen dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini. Untuk itu Fonterra Malaysia melaburkan RM20 juta setahun bagi menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap produk tenusu sejak 2011.

“Sejak kami memulakan kajian dan penyelidikan pada 2011, kami memulakan langkah mengurangkan gula tambahan atau tidak menggunakan langsung gula dalam produk kami. Namun kajian mengenai gula dalam makanan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan rasa dan ketahanan makanan. Paling penting adalah menjaga kualiti produk.

“Apa yang kami lakukan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan terhadap kepentingan nutrisi yang baik terutama bagi kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 12:16 PM