KAWASAN yang dinaiki air. FOTO ihsan JPAM
KAWASAN yang dinaiki air. FOTO ihsan JPAM
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Tiga puluh lima orang daripada lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Padang Melaka di Batu Bertangkup, Chuping selepas kawasan Kampung Kubang 3, Batu Bertangkup dinaiki air akibat hujan tidak berhenti semenjak pagi semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis, mangsa dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi selepas air mula memasuki rumah mereka.

"Pemantauan dan kerja menyelamat masih diteruskan dan berdasarkan cuaca hujan yang masih turun ini kita menjangkakan akan banyak lagi pusat pemindahan banjir yang akan dibuka lagi selepas ini seperti di kawasan Kampung Panggas, Chuping kerana ramai penduduk hanya mahu berpindah apabila hari sudah siang," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, antara kawasan yang sudah mula dinaiki air adalah kawasan Padang Melangit di Beseri dan Kubang Perun di Chuping.

"Malah paras air di Sungai Chuchoh, Sungai Jarum dan Sungai Buluh di Padang Besar turut meningkat dan dijangka akan melimpah jika hujan masih berterusan," katanya lagi.

Sehingga kini, pihak JPAM Perlis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, polis serta pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Perlis masih memantau keadaan banjir dari masa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 11:03 AM