MPHD Farid (dua kiri) bersama anggotanya dan pegawai bomba membuat pemantauan keadaan air pasang besar di pesisir pantai Sungai Baru, Kuala Perlis. FOTO Eizairi Shamsudin
MPHD Farid (dua kiri) bersama anggotanya dan pegawai bomba membuat pemantauan keadaan air pasang besar di pesisir pantai Sungai Baru, Kuala Perlis. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis meletakkan dua pasukannya untuk memantau 28 kawasan berisiko di pantai Kuala Perlis yang dijangka dinaiki air berikutan gelombang kedua fenomena air pasang besar yang bermula esok hingga 19 Oktober ini.

Timbalan Pengarah APM Negeri Perlis, Mejar (Pertahanan Awam) Mohd Farid Ishak berkata, pihaknya kini melakukan pemantauan berterusan terutama pada waktu paras air laut itu naik dari kawasan pesisiran pantai di Kuala Perlis hingga ke Kuala Sanglang.

“Kita sudah pun membahagikan pasukan kita kepada dua. Pasukan pertama akan melakukan pemantauan di kawasan kampung sekitar Bukit Batu Puteh berhampiran Kampung Wai di sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis sehingga ke Stesen Janakuasa Elektrik Perlis berhampiran Kampung Sungai Baharu.

“Satu lagi pasukan pula akan melakukan pemantauan dari Kampung Sungai Baharu hingga ke Kuala Sanglang dan pemantauan ini adalah untuk memastikan penduduk di kawasan itu dapat diberikan bantuan dengan segera sekiranya kejadian berkenaan berlaku,” katanya di tandop Kuala Sungai Padang selepas bersama-sama melakukan tinjauan fenomena air pasang besar di sekitar Kuala Perlis dan Simpang Empat disini, awal pagi tadi.

Mohd Farid berkata, 28 kawasan di pesisiran pantai di Kuala Perlis, Simpang Empat dan Kuala Sanglang yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dinaiki air dalam fenomena itu adalah Kampung Pulau Ketam, Kampung Tengah, Kampung Tandiap, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Puju, Kampung Tanah Baru, Kampung Perak, Kampung Belakang Kilang, Kampung Sungai Siput, Taman Kuala Perlis, Kampung Nelayan, Kampung Tanah Baru, Taman Bukit Kubu, Taman Sentosa, Taman Peladang Jaya, Taman Utara Jaya Fasa 1 dan 2 dan Taman Berlian.

Manakala, kawasan lain yang turut berisiko di kawasan yang sama adalah Kampung Sungai Kurong Tengar, Kampung Sungai Berembang, Kampung Bohor Pahit, Kampung Pulau, Kampung Sungai Baru, Kampung Mengimang, Kampung Sungai Belati, Kampung Sungai Padang, Kampung Padang Keria dan Kampung Kuala Sanglang.

“Lebih banyak kawasan rendah dan kawasan pantai berisiko dilanda banjir kilat jika keadaan laut terus bergelora, ditambah pula angin kencang dan hujan berterusan dan penduduk diminta bersedia untuk dipindahkan pada bila-bila masa ke tujuh penempatan yang disediakan,” katanya.

Antara pusat pemindahan yang disediakan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Beng, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Pejabat KEMAS Kuala Perlis, SK Sungai Baru, SK Datuk Ahmad Musa dan SK Padang Keria.

“Namun, jika diteliti paras air pasang di Perlis ini masih boleh dianggap sebagai cetek dan agak tenang kerana kita terlindung dengan Pulau Langkawi berbanding kawasan di Selangor dan Kedah dimana lautnya agak terbuka dan luas,” katanya lagi.

Beliau berkata, keadaan di Selangor agak berbahaya di mana fenomena air pasangnya mampu mencecah 5.2 meter berbanding di Perlis dimana ia sekitar 3 hingga 3.6 meter sahaja.

“Namun begitu, penduduk yang terbabit di kawasan yang dimaksudkan perlu sentiasa peka terhadap perkembangan air di persekitaran kediaman mereka kerana ia sedikit sebanyak membantu ketika berhadapan detik cemas terutama pada waktu malam,” katanya lagi.

Tinjauan Harian Metro bersama APM Perlis sehingga 4.30 pagi tadi, mendapati paras air laut tertinggi dicatatkan adalah sekitar 3.3 meter iaitu pada 12.30 tengah malam.

“Air pasang itu semakin menurun dan surut sekitar 3 pagi tadi dan dijangka meningkat naik ke paras 3 meter pada 12.40 tengah hari ini,” katanya lagi.

Mohd Farid berkata, jangkaan bacaan ketinggian ombak bermula esok sehingga 19 Oktober ini berada dalam lingkungan 3.5 hingga 3.6 meter dengan bacaan tertinggi adalah pada Selasa ini pada jam 1.38 pagi dimana paras laut dijangka akan mencapai setinggi 3.6 meter.

Paras air laut tertinggi di kawasan Kuala Perlis yang direkodkan ketika gelombang pertama fenomena berkenaan pada bulan lepas adalah 3.2 meter pada 19 dan 20 September.

Tinjauan berkenaan turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan polis.

Pix: Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 10:48 AM