Oleh Hafizudin Mohd Safar


Kangar: Hujan lebat berpanjangan memaksa lebih 600 penduduk di beberapa kawasan di negeri ini dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air sejak petang semalam hingga malam tadi.

Sumber Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis berkata, setakat jam 6 pagi tadi, pihaknya membuka lima pusat pemindahan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir terbabit.

Menurutnya, kira-kira 628 mangsa membabitkan 174 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bertangkup, Dewan Orang Ramai Padang Melaka, SK Bukit Keteri, Dewan Orang Ramai Banggol Sena dan rumah inap desa FELDA di Chuping.

Air yang melimpah dari sungai berdekatan menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air setinggi antara 0.5 meter (m) hingga 2 m.

Banjir kilat semalam turut menyebabkan Jalan Padang Besar-Pauh berdekatan simpang simpang tiga Kilang Gula, Chuping, di sini, hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 11:34 AM