Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Bekas peguam diraja Johor, Kamal Hisham Ja'afar, 45, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi turut memerintahkan pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain dikehendaki melaporkan diri pada setiap minggu di Balai Polis Majidee di sini.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Selasa lalu, Kamal dihadapkan ke mahkamah itu atas enam pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125).

Dalam hujahan oleh Ketua Pendakwaan Negeri Johor Saiful Edris Zainuddin memohon mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana bimbang Kamal cenderung untuk melarikan diri.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili barisan tujuh peguambela diketuai Datuk Hazman Ahmad memohon mahkamah kembali kepada prinsip asas jaminan dan merayu supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 12:40 PM