KAMAL Hisham Ja'afar hadir bagi mendengar hujahan permohonan semakan berhubung jaminan diberikan Mahkamah Sesyen di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
KAMAL Hisham Ja'afar hadir bagi mendengar hujahan permohonan semakan berhubung jaminan diberikan Mahkamah Sesyen di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan peguam Kamal Hisham Ja'afar ditahan di Pusat Tahanan Ayer Molek sehingga perbicaraan kes dihadapinya selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membuat semakan terhadap ikat jamin yang diberikan kepada Kamal Hisham, 45, oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, berlaku kekhilafan dalam pemberian ikat jamin yang dibenarkan Mahkamah Sesyen selepas melihat hakim mahkamah itu tidak mempertimbangkan hujah pendakwaan bahawa kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati berlaku kekhilafan yang mana Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan tentang kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri," katanya.

Pada 17 September lalu, Mahkamah Tinggi memanggil kedua-dua pihak bagi membuat semakan terhadap kebenaran Mahkamah Sesyen yang memberikan ikat jamin terhadap Kamal Hisham.

Bekas peguam kepada kerabat Diraja Johor itu menghadapi empat pertuduhan pecah amanah serta enam tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 dan sebelum ini dibenarkan ikat jamin keseluruhannya berjumlah RM700,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 3:10 PM