PEGAWAI SPRM Pulau Pinang membawa Noraniza Jelani, 30, ke Mahkamah Sesyen Butterworth, atas tuduhan melakukan pemerasan kepada orang awam pada Ogos 2015. FOTO Amir Irsyad Omar
PEGAWAI SPRM Pulau Pinang membawa Noraniza Jelani, 30, ke Mahkamah Sesyen Butterworth, atas tuduhan melakukan pemerasan kepada orang awam pada Ogos 2015. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


WANITA yang juga pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki di Bandar Tasek Mutiara, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Noraniza Jelani, 30, didakwa secara bersama dengan bekas suaminya, 28, memeras ugut seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menuduh mangsa menghantar video lucah kepadanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Mohamad Nazri di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Noraniza hadir ke mahkamah tanpa bekas suaminya itu.

Tertuduh bagaimanapun minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Ahmad Ghazali kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan dia menyara ibu bapanya.

Hakim Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 9 Mac ditetapkan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:49 AM