Oleh Neelofa

Assalamualaikum semua, semoga bersemangat dalam menelusuri kehidupan seharian masing-masing. Mana yang sedikit sibuk dengan urusan keluarga, jangan lupa dapatkan rehat yang secukupnya.

Walau sesibuk mana pun kita, perlu bijak membahagikan masa supaya kehidupan lebih seimbang.

Alang-alang bercakap perihal seimbang, Lofa ingat topik minggu ini mengenai cara menguruskan masa yang baik. Ramai juga yang bertanya macam mana Lofa membahagikan masa dengan urusan kerja sebagai anak seni, sebagai usahawan, pelajar dan lain-lain lagi.

Tidak penatkah? 24 jam sehari cukupkah? Jawapan Lofa mudah saja, kalau kita tahu mengutamakan dan membahagikan masa, semuanya mudah saja.

Sebagai manusia, pastinya walau macam mana teliti kita sekalipun, mesti akan terbabas dalam menguruskan masa. Itu pentingnya untuk kita mempunyai jadual dan nota peringatan sama ada dalam diari, mahupun dalam telefon bimbit masing-masing.

Macam Lofa, lebih gemar menggunakan diari sebagai medium menguruskan masa berbanding telefon bimbit. Segala aktiviti penting seharian akan dicatatkan di situ. Melalui diari, kita dapat melihat lebih jelas apa aktiviti kita setiap hari.

Aktiviti Lofa sekarang agak seimbang di antara aktiviti seni, perniagaan dan belajar. Rutin harian Lofa bermula sekitar jam 5 pagi berakhir sekitar jam 12 malam.

Selepas Subuh, aktiviti wajib yang Lofa akan lakukan ialah bersenam. Ada orang berpendapat bersenam awal pagi membuatkan kita cepat letih dan hilang tenaga untuk menjalani kehidupan seharian.

Tidak sebenarnya, malah ada kajian menyatakan, bersenam di awal pagi membuatkan kita lebih bersemangat, bertenaga dan lebih fokus.

Selalunya sebelah pagi Lofa akan tumpukan perhatian kepada perniagaan manakala waktu petang dan malam untuk aktiviti seni. Dalam masa sama, jika ada kelas Lofa akan ke kelas.

Penat tu memang sangat penat tapi jika anda suka dengan apa yang dilakukan, penat itu tidaklah dirasakan sangat.

Tapi harus diingat, walau sibuk mana sekalipun, pemakanan jangan diambil mudah. Sila makan mengikut waktu dan ambil makanan yang sihat.

Lofa perhatikan, ramai di antara kita lebih gemar pandu lalu di restoran makanan segera dengan alasan sibuk dan hendak cepat. Makanan segera memanglah memudahkan aktiviti tapi kandungannya tidak bagus untuk kesihatan. Kalau boleh, kurangkan pengambilan nasi, sebaliknya lebihkan sayur-sayuran dan protein.

Lofa juga akan pastikan hujung minggu diperuntukkan untuk diri sendiri dan keluarga. Waktu hujung minggulah selalunya Lofa akan keluar beriadah, bersiar-siar dan meluangkan bersama keluarga.

Keutamaan Lofa sebenarnya untuk keluarga. Lofa kira beruntung sebab rumah Lofa dan keluarga berdekatan.

Bagi anda yang mungkin jauh dengan keluarga, apa kata sebulan sekali ambil masa pulang ke kampung. Jenguklah mereka yang tersayang kerana harta yang paling bernilai di dunia ini sebenarnya keluarga kita.

Bercinta? Haa, cakap pasal gosip yang semua orang tengah kalut sekarang ini. Lofa dah tak larat nak jawab soal cinta yang sering dikaitkan dengan orang yang sama.

Secara terang-terangan, Lofa buat kenyataan lebih kurang setahun yang lepas bahawa kami sudah tidak ada apa-apa hubungan.

Alhamdulillah masing-masing sehingga ke hari ini tidak berasakan perpisahan itu sebagai alasan untuk bermusuh. Lagi-lagi bila kami berkongsi rakan dalam bidang perniagaan atau hiburan. Lofa tak rasakan berjumpa di tempat terbuka menjadi isu sehingga ada yang katakan kami kembali bersama. Apa yang Lofa inginkan biar hati ikhlas gembira untuk dirinya dengan sesiapa sahaja dia bersama. Dia tahu yang apa jua yang dia lakukan dia sentiasa mendapat sokongan Lofa.

Sama juga dengan apa yang selalu Lofa sebutkan kepada dia “Pray for my happiness and be happy for me” baik dengan siapa saja jodoh Lofa. Apa yang penting, kami tak nak berdendam dan Lofa harap orang ramai juga doakan yang terbaik untuk soal itu.

Bila dah penat bekerja, belajar dan sebagainya, jangan lupa hargai diri sendiri. Anggaplah aktiviti ini sebagai motivasi untuk kita terus rajin dan fokus bekerja.

Seperti Lofa, selalunya akan manjakan diri dengan pergi bercuti. Destinasi pilihan Lofa semestinya pulau. Melihat pemandangan laut yang begitu tenang, memang sangat melegakan. Hilang segala penat lelah dan tekanan yang ada dalam diri kita.

Pembahagian masa yang betul sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kita. Betul kata orang tua-tua, “mereka yang gagal merancang, sebenarnya merancang kegagalan.”

Justeru, Lofa nak ajak orang ramai, mulai hari ini rancanglah kehidupan anda dengan baik. Jadilah individu yang progesif dan berdisplin tinggi. Insya-Allah, dengan displin yang tinggi kita akan mudah mencapai kejayaan.

Sekarang zaman teknologi, merancang aktiviti seharian kini semakin mudah dengan pengenalan beberapa aplikasi khas untuk tujuan ini. Jika rasa susah sangat nak ada diari dan sebagainya, apa kata guna saja aplikasi ini, biar ia membantu anda.

Jika ada kemahuan, pastinya ada jalan bukan? Semuanya bermula dengan diri kita sendiri. Rasanya cukup sekadar ini Nota Neelofa minggu ini. Harapan Lofa, melalui penulisan ini akan ada yang bermanfaat dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 12:33 AM