Oleh Neelofa

Assalamualaikum semua. Minggu ini, Lofa nak bercerita mengenai sambutan Hari Natal yang bakal disambut semua sahabat kita yang beragama Kristian pada 25 Disember ini.

Lofa tengok, pusat beli-belah memang penuh dengan orang yang berpusu-pusu membeli-belah. Ada yang nak beli hadiah untuk Hari Natal, ada yang nak membeli-belah sempena jualan murah akhir tahun dan ibu bapa pasti ke pusat beli-belah dengan tujuan membuat persiapan menjelang sesi persekolahan 2015.

Tak kisah apa sekalipun tujuan anda ke pusat beli-belah, berbelanjalah ikut keperluan dan kemampuan. Jangan ikut nafsu.

Sebenarnya, Lofa tak sabar-sabar nak menulis artikel minggu ini sebab topiknya berkisar Instagram Datuk Chef Wan. Untuk pengetahuan semua, Lofa peminat tegar Datuk Chef Wan.

Selain meminati gaya dan skil masakannya, Lofa antara ribuan yang mengikuti Datuk Chef Wan di Instagram. Sesiapa yang mengikutinya pasti perasan beliau sangat jujur dan lantang dalam berkata-kata melalui kapsyen gambar di Instagram. Saban hari ada saja cerita dan isu akan disampaikan.

Sejujurnya, Lofa sangat terhibur dan akan berfikir sejenak setiap kali membaca kapsyen beliau. Namun paling menarik perhatian Lofa ialah kapsyen mengenai sikap segelintir daripada kita yang cepat melatah dan menjatuhkan hukuman tanpa berfikir panjang, terutama membabitkan agama dan bangsa.

Contohnya, budaya mengucapkan Selamat Hari Natal. Ada yang cakap, sebenarnya salah bagi kita umat Islam mengucapkan perkataan itu.

Contoh lain, ada juga yang mendakwa memberi angpau sewaktu musim perayaan Tahun Baru Cina adalah salah. Lofa tak mahu memandai-mandai tentukan betul atau salah perkara itu sebab Lofa rasa ada lagi mereka yang lebih arif daripada Lofa untuk mengulas perkara sebegini.

Apa yang mengganggu Lofa ialah betapa mudah dan cepat kita menghukum. Bagi Lofa, amalan bertukar hadiah sewaktu sambutan Hari Natal sebagai contoh bagi kalangan mereka beragama islam bukan kesalahan besar. Sebaliknya, ia lebih bersifat toleransi dalam hidup bermasyarakat.

Lofa pernah mengirim hadiah kepada kenalan Lofa sempena Hari Natal. Niat Lofa ketika itu hanya untuk memeriahkan lagi sambutan Krismas kenalan Lofa.

Kalau difikirkan, jumlah mereka yang menyambut Hari Natal di Malaysia adalah kecil berbanding sambutan perayaan lain. Jadi tak salah jika Lofa berbuat demikian. Yang menjadi kesalahan jika individu itu menyambut secara berlebihan. Berlebihan yang Lofa maksudkan ialah minum alkohol dan sebagainya.

Seperkara lagi yang Lofa nak tegur, pasti semua sedia maklum Malaysia adalah negara yang sangat kaya dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.

Kita semua sebenarnya patut rasa beruntung sebab dapat bersama-sama meraikan pelbagai jenis acara perayaan, biarpun ia bukan perayaan kita. Kita sepatutnya saling hormat menghormati antara satu sama lain. Rasanya sedari kecil lagi, kita semua diajar menghormati kepercayaan dan agama orang lain.

Jangan kita dengan sewenang-wenangnya nak mengutuk atau menghentam, apa jenis sekalipun ritual atau rutin sambutan sesebuah acara perayaan.

Itu belum lagi masuk bab ustaz dan ustazah ekspres sosial media. Rasanya seakan-akan trend pula kebelakangan ini.

Apabila tiba satu musim perayaan, tiba-tiba muncul pelbagai isu. Benda itu tidak boleh, benda ini tidak boleh.

Lebih menambah kerisauaan Lofa, kepantasan teknologi seakan-akan membuatkan ramai dalam kalangan kita antara sedar atau tidak sedar, menjadi rasis dan bersifat perkauman.

Nasihat Lofa, jika kita tidak mahir sesuatu perkara, usah mudah menjatuhkan hukuman dan menjadi hakim di dunia. Seelok-eloknya, berdiam diri saja. Ini tidak. Dapat mesej berantai, dengan pantas dikongsi konon nak jadi antara yang terawal menyampaikan berita. Inilah satu daripada bahana sosial media.

Cukup mengenai sikap segelintir daripada kita yang menjengkelkan Lofa. Mari kita cakap pasal Hari Natal. Bagi pembaca semua, apakah elemen sambutan Hari Natal yang paling anda semua suka?

Macam Lofa, pasti Lofa suka warna-warni sambutannya. Di samping itu, bila tiba musim sambutan Hari Natal, ini secara tak langsung bermakna bermulalah musim 'gila shopping'.

Mana taknya, boleh dikatakan hampir semua kedai buat jualan murah. Bagi orang yang dah lama berkeinginan memiliki sesuatu barang yang dulunya tidak mampu dimiliki, inilah masanya untuk shopping sakan.

Siap ada yang sanggup terbang ke London dan tempat lain di luar negara semata-mata nak membeli-belah sewaktu musim sambutan Hari Natal. Nampak tak penangannya?

Sebenarnya seronok duduk di Malaysia. Pelbagai acara dapat kita sambut, lihat dan rasakan pengalamannya. Kita sepatutnya berbangga.

Pesanan Lofa, nikmatilah kehidupan dan hormatilah perbezaan antara kita. Insya-Allah, Malaysia akan terus aman dan damai dengan sikap toleransi antara kita semua.

Buat golongan ibu dan ayah, walaupun hujung tahun barangan semuanya murah, keperluan anak nak kembali ke sekolah jangan dilupakan pula.

Untuk adik-adik kesayangan Lofa, lagi seminggu sekolah dibuka. Dah bersedia? Jahatkan kak Lofa, rosakkan mood dengan tanya soal sekolah. Saja gurau-gurau.

Sebelum mengakhiri catatan Nota Neelofa minggu ini, Lofa ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Natal buat seluruh rakyat Malaysia yang menyambutnya. Sambutlah dengan meriah dalam kesederhanaan bersama yang tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:02 AM