MOSES
MOSES
SONG
SONG

London: Bekas pemain kebangsaan Cameroon, Alex Song dan pemain sayap Nigeria, Victor Moses menyertai West Ham United secara pinjaman semusim, umum kelab Liga Perdana itu semalam.

Song, bekas pemain tengah Arsenal, yang mengumumkan persaraannya pada peringkat antarabangsa awal tahun ini, menghabiskan musim lalu secara pinjaman di West Ham dari Barcelona, melakukan 31 penampilan dalam semua pertandingan.

“Ia sudah disahkan. Alex Song menandatangani perjanjian pinjaman semusim untuk menyertai West Ham,” tulis pemilik bersama West Ham, David Gold dalam Twitter. “Selamat kembali Alex.”

Song, 27, berkata: “Saya amat gembira. Apabila saya pergi, saya tidak tahu sama ada akan datang semula ke sini. Ia tidak mudah, tapi akhirnya, apa yang paling penting saya berada di sini sekarang dan saya amat gembira.

“Saya berasa di tempat sendiri, setiap perkara bagaikan di kampung sendiri, buat keluarga saya juga, mereka menyesuaikan diri dengan baik di sini. Anak saya bermain dengan akademi West Ham.”

Moses, 24, tiba secara pinjaman dari kelab juara Liga Perdana, Chelsea.

Pemain sayap itu menyertai Chelsea dari Wigan Athletic pada Ogos 2012 namun menghabiskan dua musim terakhir secara pinjaman di Liverpool dan Stoke City.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:31 AM