BEKAS pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere sah bersama West Ham musim depan selepas mengikat kontrak tiga tahun. FOTO Agensi
BEKAS pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere sah bersama West Ham musim depan selepas mengikat kontrak tiga tahun. FOTO Agensi

LONDON: Bekas pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere menyertai West Ham United dengan perjanjian selama tiga tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Wilshere meninggalkan Arsenal pada penghujung musim lalu selepas kontraknya di Emirates berakhir, sekali gus menamatkan karier selama 17 tahun bersama kelab berpangkalan di London itu.

Tetapi, pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia gembira untuk menyertai Hammers yang juga kelab disokongnya sejak kecil.

“Perasaannya hebat, istimewa. Ramai mengetahui saya mempunyai hubungan istimewa dengan kelab ini ketika saya membesar,” kata Wilshere di laman web West Ham.

“Orang akan melihat gambar saya dengan baju West Ham dan saya mempunyai memori yang baik ketika kecil dengan menyokong West Ham, melihat mereka bermain di Upton Park. 

“Keluarga saya dan beberapa rakan saya adalah peminat West Ham jadi semua orang teruja.”

Wilshere membuat penampilan sulung di pentas senior bersama Arsenal pada 2008 dan sudah mengharungi 197 penampilan dengan dua kali memenangi Piala FA pada 2014 dan 2015.

Beberapa siri kecederaan dan penurunan prestasi menyaksikannya bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sebelum menghabiskan musim 2016/17 di Bournemouth secara pinjaman.

Prestasinya boleh dibanggakan sejak kembali ke Arsenal musim lalu tetapi dia yang mempunyai 34 penampilan bersama skuad kebangsaan tidak dibawa Gareth Southgate ke Russia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 2:29 AM