BENGKEL 'School of Hard Knocks' persembahkan teknik pertukangan piuter secara tradisional.
BENGKEL 'School of Hard Knocks' persembahkan teknik pertukangan piuter secara tradisional.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Sebut saja piuter, terbayang kehalusan reka bentuk dan keindahan ukirannya yang sering kali jadi pilihan buah tangan serta hadiah popular dalam kalangan pelancong.

Piuter yang satu ketika dulu terhad hanya untuk golongan korporat, kini mula diminati generasi muda malah kanak-kanak kerana bentuknya yang menepati trend semasa.

Seperti apa ditonjolkan Royal Selangor, piuter juga mudah dihasilkan dan tidak memerlukan teknik rumit bagi rekaan ringkas.

Justeru, sempena bulan November ini, Royal Selangor menyediakan aktiviti menarik untuk kanak-kanak menyertai bengkel bergerak 'School of Hard Knocks' di beberapa pusat beli-belah terpilih sekitar Lembah Klang.

Bengkel serta pameran bergerak ini bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai tarikan utama Pusat Pelawat Royal Selangor di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Selain aktiviti 'School of Hard Knocks', demonstrasi secara langsung mengenai teknik pertukangan piuter akan dipersembahkan di samping program 'The Foundry'.

Bagi aktiviti 'School of Knocks', kakitangan berpengalaman menunjukkan cara menghasilkan mangkuk piuter menerusi teknik pertukangan tradisional yang mudah.

Pengunjung juga didedahkan kepada keseluruhan proses penghasilan aksesori piuter menerusi bengkel 'The Foundry'.

Jika berminat, dapatkan promosi pembelian satu percuma satu yang memberi peluang kepada pengunjung membawa rakan mereka bagi menyertai bengkel itu.

Aktiviti lain termasuk pameran mini artifak piuter dan peraduan yang membolehkan pemenangnya mendapat peluang mengambil bahagian dalam sesi 'School of Hard Knocks' bersama seorang lagi rakan.

Maklumat pameran bergerak ini seperti berikut: 6 hingga 9 November di Bangsar Shopping Centre (West Wing, Tingkat Bawah), 12 hingga 16 No-vember di One Utama dan 19 hingga 23 November di The Gardens Mall.

Untuk maklumat lanjut, sila layari visitorcentre.royalselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:00 AM