Zimmermann bercakap kepada media pada bengkel serantau - Program bola sepak untuk sekolah FIFA. FOTO Owee Ah Chun.
Zimmermann bercakap kepada media pada bengkel serantau - Program bola sepak untuk sekolah FIFA. FOTO Owee Ah Chun.
Meor Riduan Meor Ahmad


SERAMAI 700 juta kanak-kanak lelaki dan perempuan di seluruh dunia disasarkan menyertai Program Bola Sepak untuk sekolah anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilaksanakan mulai awal tahun depan.

Pengurus Program Perkhidmatan Pembangunan Teknikal, Bahagian Pembangunan Teknikal, FIFA, Philip Zimmermann berkata, program itu bertujuan mempromosikan faedah bola sepak serta meningkatkan bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan untuk bermain bola sepak di peringkat sekolah rendah.

Katanya, menerusi program itu pihaknya akan membekalkan guru-guru pendidikan jasmani di 211 negara anggotanya dengan aplikasi khas FIFA bagi mengajar teknik bermain bola sepak termasuk aspek pemakanan.

"Aplikasi mudah alih ini mudah difahami dan digunakan walaupun oleh guru tanpa latar belakang pendidikan jasmani untuk mengajar kanak-kanak bermain bola sepak.

"Ia juga mengandungi ilmu kemahiran hidup yang boleh dimasukkan dalam kurikulum di sekolah," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bengkel Serantau: Bola Sepak Untuk Sekolah di Petaling jaya, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Subahan Kamal (duduk, tiga kiri) berkata sesuatu dengan Zimmermann (duduk, empat kanan) pada majlis perasmian bengkel serantau - Program bola sepak untuk sekolah FIFA.
Subahan Kamal (duduk, tiga kiri) berkata sesuatu dengan Zimmermann (duduk, empat kanan) pada majlis perasmian bengkel serantau - Program bola sepak untuk sekolah FIFA.

Zimmermann berkata, menerusi kerjasama dengan jenama sukan terkemuka Adidas sebanyak 11 juta bola sepak akan diagihkan kepada negara anggota FIFA untuk program itu.

"Untuk Asia Tenggara saja lebih sejuta bola sepak diagihkan kerana negara-negara ini sasaran utama kita," katanya.

Bengkel tiga hari bermula semalam disertai 30 peserta dari 12 negara anggota Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) termasuk Malaysia membabitkan pengarah teknikal dan pegawai berkaitan kalangan ahli gabungan serta wakil Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sukan negara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 4:43 PM