PESERTA mendapat maklumat berguna melalui program itu.
PESERTA mendapat maklumat berguna melalui program itu.

Kanak-kanak adalah masa depan kita dan aset kepada negara. Merekalah kesinambungan warisan dan perlu dididik dan dijaga sebaik mungkin, baik dari segi pendidikan, kesihatan dan kerohanian.

Menyedari hakikat itu, Nestle Malaysia baru-baru ini menganjurkan bengkel tahunan ketiga Train-the-Trainer sebagai sebahagian daripada program Kanak-Kanak Sihat Nestle (NHK).

NHK ialah satu inisiatif global untuk membantu dan menggalakkan kanak-kanak sekolah mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), inisiatif itu bertujuan melatih guru mengenai modul NHK. Ia antara usaha menambah pengetahuan guru mengenai pemakanan, selain menyemai tabiat dan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.

Bengkel selama tiga hari itu dilancarkan di Kuching, Sarawak oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Kesihatan, Intervensi dan Pengurusan Asrama, Bahagian Pengurusan Sekolah di Kementerian Pendidikan Malaysia Cyril Christopher Singham.

Turut hadir, Ketua Unit Asrama, Sektor Kesihatan, Intervensi dan Asrama, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia Bahrin Masduki.

Susulan kejayaan bengkel sama dua tahun lalu, ramai peserta sebelum ini kembali menyertai bengkel itu bersama-sama beberapa muka baru.

Secara keseluruhan, 166 guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan warden dari sekolah rendah asrama harian di Sabah dan Sarawak menghadiri bengkel kali ini.

Bengkel kali ini diketuai barisan pakar kesihatan Dr Zawiah Hashim, Dr Chin Yit Siew dan Prof Dr Norimah A Karim yang memperkenalkan set pembelajaran modul tahap tiga dengan topik lebih mendalam.

Antara topik yang dipelajari ialah ‘Kaedah Penyediaan Makanan Sihat’, ‘Baca Label Pada Bungkusan Makanan’ dan ‘Jom Bersenam dan Bersukan’.

Guru juga diberi peluang untuk membuat ulang kaji bagi subjek tahun sebelumnya dan cara yang betul untuk mengajar dan berinteraksi dengan pelajar menggunakan modul disediakan dalam NHK.

Menurut Cyril, pihaknya berasa gembira dapat menjalin kerjasama sekali lagi dengan Nestle dan NSM buat tahun ketiga berturut-turut bagi menjayakan program berkenaan.

Katanya, kerjasama antara sektor awam dan swasta itu satu langkah progresif dalam sektor pendidikan.

“Menerusi inisiatif ini, kami berharap pelajar sekolah akan dapat mempelajari dan mengamalkan tabiat yang sihat.

“Modul sepanjang dua tahun lalu menunjukkan hasil positif dan kami yakin bengkel tahun ini akan terbukti memberi faedah kepada guru dan juga pelajar,” katanya.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Nestle Malaysia Eliza Mohamed berkata, sebagai syarikat yang menumpu kepada pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan, pihaknya percaya pemakanan yang baik penting untuk kesejahteraan setiap individu.

Program NHK ternyata relevan memandangkan terdapat isu berkaitan pemakanan, seperti kekurangan zat makanan dan peningkatan obesiti, khususnya dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

“Sejajar dengan prinsip menjana nilai bersama, kami akan terus melaksanakan usaha untuk membawa kesan positif kepada kehidupan semua rakyat Malaysia.

“Di Nestle, kami percaya untuk menjana nilai jangka panjang syarikat, kami juga mesti menjana nilai untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pakar NHK dan Presiden NSM Dr Tee E Siong yakin usaha mendidik anak kecil untuk mengamalkan cara hidup sihat akan menjamin generasi rakyat Malaysia yang sihat.

Menurutnya, usaha itu akhirnya akan menjamin negara yang sihat. Program seperti yang dijalankan Nestle penting untuk membawa perubahan dengan memupuk tabiat makan yang lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 5:39 AM