PROF Muhaya (tiga dari kiri) bersama Azmir Razali (kiri), Ruha Dani dan Dr Noor Atiyah (kanan) yang akan mengendalikan bengkel Whole Brain Extraordinary Parenting.
PROF Muhaya (tiga dari kiri) bersama Azmir Razali (kiri), Ruha Dani dan Dr Noor Atiyah (kanan) yang akan mengendalikan bengkel Whole Brain Extraordinary Parenting.
Siti Zarinah Sahib

Realiti dalam masyarakat hari ini, ramai ibu bapa mendidik anak dengan meletakkan fokus kepada perkara berbentuk logik dan pembangunan akal semata-mata. Mereka percaya menerusi pendidikan berdasarkan kecemerlangan akademik dengan perolehan banyak ‘A’ dalam peperiksaan dapat membina kecerdasan dan kecerdikan intelektual anak.

Akibatnya anak menjadi tertekan kerana perlu berusaha mencapai keputusan yang tinggi manakala ibu bapa berada dalam tekanan memikirkan anak yang masih tidak mencapai keputusan dikehendaki. Oleh itu, ramai ibu bapa tercari-cari kaedah yang boleh diguna pakai dalam membantu mereka mendidik anak sesuai dengan peredaran zaman.

Sebenarnya kejayaan hidup seseorang banyak dipengaruhi faktor keupayaan mengendalikan diri dari sudut pemikiran, kerohanian, penjagaan fizikal dan amalan prinsip hidup yang betul dan bukanlah berteraskan kecemerlangan di atas kertas peperiksaan semata-mata.

Ini diakui Pakar Motivasi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad mengenai masyarakat hari ini yang terlalu memberi tumpuan kepada pembangunan akal dan logik semata-mata. Berdasarkan pengalaman sebagai doktor sepanjang 32 tahun, ramai individu mencapai kejayaan dari segi material tetapi tidak bahagia. Luarannya nampak begitu berjaya, memegang jawatan dengan gaji tinggi serta dilimpahi kemewahan namun jiwa mereka sakit dan tertekan.

“Saya mengatakan begitu berdasarkan tindak balas daripada pesakit sebelum, semasa dan selepas melakukan pembedahan. Saya melihat ada dua jenis manusia iaitu mereka yang hidup dengan tenang, tidak suka marah dan suka tersenyum biasanya pembedahan berjalan lancar dan sangat mudah. Berbeza mereka yang gemar bertanya, gelisah dan tidak yakin biasanya pembedahan mengambil masa agak lama dan lambat sembuh.

“Dari situ, saya mengkaji latar belakang pesakit dengan soalan mengenai pengalaman ketika kecil dan cara mereka dibesarkan. Berdasarkan soalan ini, ia berhubung kait dengan diri mereka pada masa kini iaitu cara melihat dunia dipengaruhi kehidupan ketika kecil,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia banyak mengendalikan ceramah mengenai transformasi diri dan membawa individu berubah dengan melihat dunia daripada kaca mata berbeza, tetapi sudah sampai masanya dia memberi tumpuan kepada ibu bapa kerana mereka golongan paling penting yang bertanggungawab mendidik dan membesarkan anak.

Bermula daripada akar umbi dengan memberikan pendedahan kepada ibu bapa sejak anak dalam kandungan, ia dapat membentuk kecemerlangan fizikal dan rohani serta anak dibesarkan dalam suasana positif.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Prof Muhaya bersama tiga sahabat iaitu Perunding Keibubapaan NLP Dr Noor Atiyah Azmi dan pengasas Akademi Smart -IQ Ruha Dani dan Azmir Razali menganjurkan bengkel Whole Brain Extraordinary Parenting yang akan diadakan pada 7 Mei depan dengan memberikan tumpuan kepada kemahiran berinteraksi dengan otak kanan dan kiri menggunakan kaedah holistik.

“Bengkel ini diadakan sebagai langkah mendekati masyarakat bermula dari bawah dan sebagai salah satu ilmu kehidupan bagaimana berhadapan dengan masyarakat, anak dan keluarga atau dalam erti kata lain hidup dengan kesedaran. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah meminta maaf dan memaafkan orang lain tanpa mengira status diri.

“Sebagai manusia, tiada orang yang boleh lari daripada kesilapan dan masa silam yang pedih. Oleh itu amat penting seseorang itu bertanggungjawab atas kehidupan sekarang dan membebaskan diri daripada masa lampau,” katanya yang menjelaskan bengkel ini akan mendidik anak menerusi kesedaran menggunakan otak mereka.

Untuk itu, terdapat cara dan teknik untuk menguasai kuasa otak. Paling penting, peranan ibu dan ayah adalah mendidik anak dengan kesedaran bahawa otak mereka sangat hebat dan perlu dilatih agar kekal dan bertambah hebat.

KOMUNIKASI BERKESAN

Menurut pakar dalam bidang Neuro-Linguistic Programming (NLP) Dr Noor Atiyah, dalam bengkel ini dia akan memberikan tumpuan kepada komunikasi berkesan berhadapan anak yang akan menentukan kejayaan serta hala tuju mereka.

“Komunikasi dengan anak perkara penting menjadikan hubungan mereka berjalan lancar. Adakalanya ibu bapa ingin menyampaikan arahan namun cara yang tidak tepat menyebabkan anak tidak mengikutnya. Akhirnya ibu bapa kecewa dan mengatakan anak mereka tidak pandai, degil dan tidak menghormati orang tua.

“Tiada persefahaman bukanlah disebabkan salah anak sebaliknya mesej yang cuba disampaikan tidak dapat diterima dengan baik. Apa yang penting adalah memahami emosi terlebih dulu barulah mencipta komunikasi dua hala di antara mereka. Namun apa yang berlaku sekarang ibu bapa ibarat raja dan anak perlu mendengar kata sedangkan ia konsep yang salah,” katanya.

Jelas Dr Atiyah, setiap anak ada roh dan jasadnya bukan sekadar memenuhi tuntutan rohani saja sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh iaitu fizikal, rohani dan emosi menerusi teknik tertentu. Namun ramai ibu bapa tidak faham.

Menerusi bengkel ini ibu bapa diajar supaya tidak menyalahkan anak sebaliknya belajar memperbaiki diri dan semua ibu bapa boleh melakukannya tanpa mengira status atau usia.

“Secara tidak langsung ia mendidik ibu bapa menjadi lebih penyayang dan seimbang dalam semua segi. Ini sama seperti didikan Rasullullah SAW yang mendidik anak secara seimbang. Dalam kelembutan ada ketegasannya,” katanya.

Bengkel ini juga akan memberikan kesedaran kepada anak mengenai semua ciptaan Allah adalah sama. Oleh itu mereka perlu menerimanya tanpa mengira warna kulit atau status. Hormat-menghormati akan menjadikan kehidupan lebih tenang dan baik.

KEBIJAKSANAAN BUKAN HANYA PADA IQ

Pengasas Smart IQ Ruha Dani pula mengakui sering berhadapan dengan ibu bapa yang hanya memberikan tumpuan kepada kebijaksaan IQ tanpa melihat secara lebih meluas. Kebijaksaan pelbagai bukan saja terbatas kepada IQ, sebaliknya kreativiti, pemerhatian dan kemahiran menjadi asas utama yang diberikan kepada setiap anak.

“Allah menciptakan kebijaksanaan yang pelbagai kepada manusia namun ramai tak sedar kerana mereka tidak menggunakan keseluruhan otak kanan dan kiri dalam kehidupan seharian. Dalam bengkel ini peserta diajar mengaktifkan otak kanan dan kiri menerusi permainan menggunakan semua deria yang dijalankan untuk anak dan peserta dewasa. Apabila pulang ke rumah mereka dapat mengaplikasikannya bersama-sama.

“Permainan ini dapat meningkatkan tumpuan pelajaran di kelas, melancarkan pertuturan dan menjadi lebih peka menerusi rangsangan mata. Ia tidak hanya komunikasi sehala sebaliknya dua hala dan dijalankan secara amali,” kata Ruha.

Fitrah kejadian anak juga akan ditekankan misalnya mengapa pentingnya permainan untuk kanak-kanak berusia dua sehingga enam tahun. Belajar sambil bermain akan menjadikan mereka lebih tenang dan menimbulkan keseronokan dalam pembelajaran. Mereka akan lebih mudah menerima pengajaran di sekolah. Keadaan ini berbeza dengan anak yang dipaksa belajar yang menyebabkan mereka menjadi lebih tertekan dan murung.

Bengkel sehari yang akan bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 6.30 petang di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia ini terbuka kepada semua peringkat usia. Tiket berharga RM180 untuk individu dan RM360 untuk pasangan. Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang event.modestculture.com atau WhatsApp ke 0122288095 dan 0173076567.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:15 AM