Oleh Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kebun sayur Sungai Kabok, Lembah Bertam di sini, disambung semula pada jam 8 pagi ini.

Usaha mencari mangsa seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai pasangan suami isteri warga Indonesia itu hari ini turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan bomba di kawasan rumah kongsi didiami mangsa.

Kedua-kedua mangsa yang identiti mereka belum dikenal pasti lagi itu, dilaporkan hilang jam 11.10 pagi semalam oleh rakan mereka, namun operasi mencari mereka terpaksa dihentikan jam 5.30 petang semalam berikutan cuaca kembali hujan serta berlaku pergerakan tanah di lokasi pencarian.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh 40 pasukan penyelamat terdiri dari polis, bomba dan tentera serta dibantu unit K9.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa dipercayai tertimbus selepas rumah kongsi didiami mereka dan beberapa rakan sekerja lain ditimpa tanah runtuh selepas hujan lebat pada lewat petang Rabu lalu.

Hujan lebat luar biasa selama kira-kira dua jam Rabu lalu mengakibatkan bencana banjir kilat berserta lumpur dan tanah runtuh di kawasan Kampung Baru Ringlet, Ulu Merah, Kuala Terla dan Lembah Bertam yang menyebabkan tiga mangsa terkorban setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 10:57 AM