SJK Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak petang semalam. FOTO Muhaizan Yahya.
SJK Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak petang semalam. FOTO Muhaizan Yahya.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Polis mengesahkan setakat ini seramai tiga mangsa terkorban dan empat cedera dalam kejadian banjir kilat serta tanah runtuh di tiga kawasan membabitkan Kampung Baru Ringlet, Kuala Terla, Ulu Merah dan Lembah Bertam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketiga-tiga mayat mangsa sudah ditemui secara berperingkat bermula jam 8.30 malam tadi dan mayat terakhir dijumpai kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Menurutnya, kejadian membabitkan empat insiden iaitu banjir kilat di Kampung Baru Ringlet dan Batu 49 Kuala Terla, tanah runtuh di Ulu Merah dan Lembah Bertam serta pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam hingga mengakibatkan perpindahan penduduk dilakukan.

"Mangsa pertama yang maut ditemui pada jam 8.30 malam adalah seorang warga Nepal dikenali sebagai Md Yousuf Miya, 66, dan dikesan tertimbus dalam runtuhan tanah yang menimbus rumah kongsinya di Ulu Merah.

"Rakan mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Iswandi, 47, yang berada di rumah kongsi berkenaan pula cedera parah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, mangsa kedua membabitkan remaja berusia 13 tahun dikenali sebagai R Tunesh yang ditemui jam 8.45 pagi tersangkut pada tebing sungai kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh di Batu 49 Kuala Terla.

"Mangsa ketiga ditemui pada jam 9.20 pagi di Lembah Bertam dalam rumah kongsi yang tertimbus akibat tanah runtuh.

"Mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Anipan, 48 ditemui tertimbus kira-kira 1 meter dalam tanah yang runtuh," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, setakat ini operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula dari malam tadi dihentikan pada jam 10.30 pagi tadi kerana tiada lagi laporan kehilangan mangsa atau mangsa terperangkap.

"Bagaimanapun, pemantauan masih dilakukan terutama di Lembah Bertam kerana pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar masih dilakukan.

"Setakat jam 11 pagi paras air di empangan berada pada ketinggian 1,051 meter iaitu paras selamat, namun masih belum stabil dan air mula dilepaskan bermula jam 9.30 malam tadi selepas berada pada tahap bahaya iaitu 1,052 meter," katanya.

Menurutnya, tahap tertinggi air di empangan terbabit pada malam tadi adala pada paras 1053 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 11:41 AM