GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tanah rizab Melayu yang sudah dipecahkan dan dijual boleh dikembalikan semula kepada status asal dengan syarat proses penjualan tidak sampai ke tangan pihak yang 'bona fide'.

Peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, dalam konteks mahkamah, bona fide ialah pihak ketiga yang tidak mengetahui penjualan hartanah itu wujud unsur penipuan.

"Tanah yang sudah dipecahkan dan dijual, memang boleh dapat kembali tetapi sekiranya penjualan tidak sampai ke tangan pihak ketiga yang bona fide.

"Pihak yang bona fide bermaksud, seorang pembeli tanah yang tidak terbabit dalam penipuan hak milik itu," katanya dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas penahanan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas penjawat awam kerana disyaki menipu sebuah agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot tanah rizab Melayu seluas kira-kira 649.2 hektar.

Bekas penjawat awam terbabit juga sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan terbabit.

Mengulas lanjut, Wan Azmir berkata, undang-undang tidak membenarkan pihak yang menipu dalam penjualan hartanah memperoleh keuntungan daripada transaksi itu.

"Penjualan aset yang bukan milik seseorang membatalkan hak untuk menjual atau bertransaksi kerana hak menjual atau bertransaksi tidak wujud pada awalnya.

"Namun, bagi pihak pembeli yang tertipu, sekiranya mereka tidak terbabit dalam penipuan itu dan tidak mengetahui adanya penipuan, boleh menuntut sah pembelian itu walaupun adalah daripada hasil penipuan," katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata, tanah rizab Melayu hanya boleh dijual kepada kaum Melayu saja.

"Mustahak, perlu tahu tanah ini hanya boleh dijual dan dibeli pembeli berketurunan Melayu saja.

"Jadi, apabila tanah rizab Melayu dijual kepada bukan Melayu, penjualan itu tidak sah.

"Walaupun ini tidak termaktub dalam Perlembagaan, namun ia tertakluk kepada bidang kuasa setiap negeri bagi memelihara hak kaum Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 2:24 PM