MURID mengambil ujian peperiksaan akhir tahun di Dewan Serbaguna Lembah Bertam, semalam.
MURID mengambil ujian peperiksaan akhir tahun di Dewan Serbaguna Lembah Bertam, semalam.

Cameron Highlands: Seramai 246 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Lembah Bertam, terpaksa menduduki peperiksaan akhir tahun di Dewan Serbaguna Lembah Bertam, di sini, semalam, selepas sekolah berkenaan tidak boleh digunakan akibat banjir lumpur dan tanah runtuh, Rabu lalu.

Peperiksaan berkenaan membabitkan murid prasekolah sehingga tahun enam yang menduduki peperiksaan untuk mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Kajian Tempatan bermula jam 8 pagi hingga jam 1.05 petang.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SRJKC Lembah Bertam Ooi Ee Then berkata, pihaknya sudah membuat persediaan awal untuk berpindah kerana tahun lalu kejadian sama berlaku ketika murid menduduki peperiksaan akhir tahun dan ketika itu dipindahkan ke SRJKC Cameron Highlands.

“Peperiksaan hari ini (semalam) adalah peperiksaan tertangguh kerana banjir lumpur dan hujan lebat di sekitar kawasan ini. Ia sepatutnya diadakan pada Isnin dan semalam (kelmarin),” katanya, di sini semalam.

Menurutnya, semua murid ditempatkan di Dewan Serbaguna Lembah Bertam tidak jauh dari sekolah dan peperiksaan berjalan lancar kerana penjadualan semula peperiksaan dirancang dalam mesyuarat semalam.

Katanya, dia berharap pihak berwajib mencari jalan menyelesaikan masalah banjir lumpur dan tanah runtuh supaya kejadian tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:15 AM