Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Cameron Highlands: Tiga maut dalam kejadian banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Ringlet, di sini, malam tadi.

Selain itu, seorang buruh kebun sayur parah manakala tiga lagi dikatakan cedera akibat tersepit dalam bengkel kereta berikutan tanah runtuh di pekan Ringlet.

Manakala setakat jam dua petang tadi, dua lagi mangsa di Lembah Bertam dikhuatiri terperangkap dan operasi mengesan mangsa masih dijalankan pasukan penyelamat.

Berdasarkan maklumat yang diterima di Pusat Kawalan Operasi di sini, kehilangan kedua-dua mangsa dilaporkan kira-kira jam 11 pagi tadi, namun operasi mencari dan menyelamat mangsa berdepan kesukaran akibat pasukan penyelamat sukar untuk ke lokasi mangsa dilaporkan hilang di kawasan Sungai Tiang, kerana jambatan runtuh.

Usaha mengesan mangsa terpaksa dilakukan melalui laluan alternatif yang agak jauh serta pasukan penyelamat perlu berjalan kaki dan mendaki bukit.

Sehingga kini, keadaan kedua-dua mangsa yang dipercayai pasangan suami isteri warga Indonesia itu masih belum diketahui sama ada selamat atau sebaliknya.

Sementara itu, keadaan paras air di Empangan Sultan Abu Bakar kini semakin menurun dan hampir mencecah tahap stabil.

Sehingga jam 2.15 petang tadi paras air berada pada tahap 1,050 meter dan pelepasan air masih dilakukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat berkata, pekerja kebun sayur yang maut itu adalah warganegara Nepal dikenali sebagai Yusof, 30-an.

"Pekerja itu mati tertimbus manakala remaja itu pula dipercayai lemas di Kuala Terla. Buruh yang parah itu pula dipercayai warga Indonesia.

"Kedua-dua jasad sudah dikeluarkan oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, keadaan itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di daerah itu.

Katanya, jika keadaan hujan lebat berterusan pintu empangan Sultan Abu Bakar harus dibuka untuk melepaskan air.

Menurutnya, keadaan itu mungkin besar bakal menyebabkan berlakunya banjir lumpur di kawasan Bertam.

"Pengosongan di kawasan terbabit sudah dijalankan dan pusat pemindahan sudah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.

"Enam kereta dilaporkan hanyut dalam kejadian itu dan angka sebenar masih belum diperoleh," katanya.

Katanya, 150 orang daripada 37 keluarga dari Kampung Baru Ringlet yang terjejas akibat limpahan Sungai Ringlet kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Ringlet, Cameron Highlands.

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lesley, berkata, air lumpur hingga paras lutut bersama sampah sarap menghentam kawasan terjejas.

"Seorang rakan saya cedera dan terpaksa dibawa ambulans ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kejadian itu.

"Selain itu beberapa kenderaan turut kelihatan terjejas akibat hentaman banjir berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, hujan masih lebat di kawasan berkenaan sehingga 9.30 malam dan bimbang keadaan menjadi lebih buruk.

Sementara itu, Ketua Kampung Ringlet Looi Chin Chin berkata, lebih 20 rumah terjejas berikutan kejadian itu.

Difahamkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira empat kilometer dari kawasan tragedi Lembah Bertam yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 11:33 PM