ANGGOTA penyelamat mengusung satu daripada dua mayat yang ditemui, semalam.
ANGGOTA penyelamat mengusung satu daripada dua mayat yang ditemui, semalam.

Cameron Highlands: Dua mangsa tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Baru Ringlet, Ulu Merah, Kuala Terla dan Lembah Bertam di sini yang hilang Rabu lalu ditemui pagi semalam dalam keadaan berselimut.

Penemuan itu menjadikan keseluruhan korban akibat tragedi berkenaan lima orang.

Mayat suami isteri itu ditemui tertimbus hampir satu meter di dalam tanah berhampiran satu sama lain dan dipercayai sedang tidur ketika rumah kongsi mereka ditimbus tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pasangan terbabit ditemui pasukan penyelamat yang menyambung operasi mencari bermula jam 8 pagi semalam selepas dihentikan pada petang kelmarin.

“Mangsa wanita dikenali Yunita, 41, ditemui pada jam 11.05 pagi dan suaminya Suwalis, 40, ditemui lima minit kemudian di kawasan rumah kongsi mereka.

“Kedua-duanya ditemui tertimbus hampir satu meter dalam tanah dan mereka dipercayai tidur ketika kejadian tanah runtuh berlaku,” katanya, di sini semalam.

Menurut Wan Zahari, operasi mencari mangsa semalam membabitkan 254 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba, tentera dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) selain sebuah jengkaut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:16 AM