Miera bersama suami dan anaknya
Miera bersama suami dan anaknya
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon Miera Leyana memberitahu dia dan suami tetap memilih untuk tidak berkongsi wajah anak keduanya yang bakal dilahirkan secara pembedahan pada pertengahan Mei ini.

Miera atau nama sebenarnya, Miera Leyana Datuk Seri Kasmi, 30, berkata, dia memilih untuk tidak berkongsi wajah bayi keduanya yang akan dilahirkan nanti kerana bimbang dengan penyakit ain.

"Ketika anak pertama dulu, suami minta saya kongsi wajahnya di media sosial hanya selepas dia berusia setahun.

"Kami juga memilih untuk buat perkara yang sama untuk kongsi wajah bayi kedua kami nanti selepas dia besar sikit," katanya kepada Harian Metro.

Kata pelakon drama Memori Cinta Suraya itu, sebagai selebriti, dia berasa bimbang dan lebih berhati-hati untuk berkongsi wajah anaknya pada zaman media sosial sekarang.

"Sekarang ini banyak orang yang hasad dengki dan kita nak kongsi wajah anak di media sosial pun jadi takut anak yang akan menjadi mangsa.

"Pada pandangan saya, orang tidak lagi 'support' (sokong) antara satu sama lain sekarang sebaliknya lebih suka tengok kita jatuh.

"Kalau kita kongsi berita gembira pun akan jadi memudaratkan diri kita. Kalau dulu, bila kita kongsi berita gembira, orang akan mendoakan yang baik-baik baik juga," katanya.

Mengenai kandungannya pula, kata Miera yang kini sarat mengandung sembilan bulan, dia juga memilih untuk merahsiakan jantina anak keduanya itu.

"Saya tengah tunggu masa nak bersalin sahaja lagi. Walaupun sudah sarat, saya masih lagi bertenaga memasak untuk keluarga.

"Kehamilan kedua ini saya tak sempat nak mengada dengan suami seperti sakit pinggang, sakit kaki dan kaki 'cramp's (kejang) sebab sudah ada anak sulung yang perlu diberi perhatian," katanya.

Miera berkahwin dengan Rosland Othman yang juga usahawan pada 26 Julai 2020. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Rachel Aisyah, 3 tahun. Rosland juga memiliki lima anak dari perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 2:49 PM