Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pendatang baru Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) muncul pasukan pertama menempah slot separuh akhir merebut Piala Tun Sharifah Rodziah.

Ia susulan kemenangan ketiga berturut-turut semalam selepas kali ini menewaskan Pahang 2-0 sekali gus mendahului carta Kumpulan B dengan sembilan mata maksimum.

Jurulatih MISC-MIFA Anggun Ananthan berkata, beliau tidak mahu anak buahnya mendabik dada terlalu awal selepas mengesahkan laluan ke peringkat seterusnya lebih awal kerana masih terlalu banyak kelemahan harus dibaiki sekiranya kepingin menjulang mahkota kejuaraan.

“Saya berharap kami mampu mengekalkan rentak kemenangan. Tekanan pasti lebih kerana kami kini dilabel antara pasukan pilihan selepas PDRM (Polis DiRaja Malaysia) dan Sabah.

“Saya berharap pemain dapat mengurangkan kesilapan yang masih berlaku. Apabila bertemu pasukan lebih baik, kesilapan itu bakal mengundang padah,” katanya semalam.

Pasukan yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah itu dijangka tidak berdepan masalah berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi terakhir kumpulan esok.

Sementara itu, pesaing terdekat PDRM terus mempamerkan belang apabila membelasah Perak 6-0 untuk kekal di tangga kedua Kumpulan B di belakang MISC-MIFA yang dipisahkan dengan tiga mata.

Kumpulan A pula menyaksikan Selangor merampas kedudukan selaku pendahulu kumpulan selepas pasukan pilihan yang juga juara bertahan Sabah tidak bermain semalam. 

Selangor dan Sarawak mengambil kesempatan itu selepas kedua-duanya melakar kemenangan. Selangor menewaskan Negeri Sembilan 5-0 manakala Sarawak membenam Pulau Pinang 2-0.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B bakal bertembung di separuh akhir pada 7 Ogos sebelum final dijadualkan keesokan harinya di Stadium Mini ILKAP, Bandar Baru Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:35 AM