Pemain MISC-MIFA, Haindree Mosroh (kiri) mengasak pemain PDRM, Norhanisa Yahya   di Padang UKM Bangi.
Pemain MISC-MIFA, Haindree Mosroh (kiri) mengasak pemain PDRM, Norhanisa Yahya di Padang UKM Bangi.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Bandar Baru Bangi: Dibarisi hampir separuh daripada skuad bola sepak wanita negara, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya merakamkan kemenangan pertama ke atas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 1-0 dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, petang semalam.

Gol tunggal MISC-MIFA dihasilkan menerusi tonggak pertahanan kiri Rozeini Dusileh (gambar) pada minit-minit akhir perlawanan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang babak pertama.

Dengan kemenangan pertama itu menyaksikan pasukan pilihan kejohanan itu kini berkongsi tiga mata bersama Pahang dalam kumpulan B apabila skuad Tok Gajah turut mencatat kemenangan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 2-0.

Pengendali MISC-MIFA Anggun Ananthan ternyata lega dengan keputusan itu selepas melihat anak buahnya agak bergelut untuk menembusi kubu lawan yang kental bertahan sejak sepak mula ditiupkan.

“Terus -terang saya katakan, saya gembira dengan komitmen dan kesungguhan pemain yang tidak kenal erti putus asa walaupun saya akui lawan kami begitu mantap di bahagian pertahanan.

“Ini adalah permulaan yang cukup baik kepada pasukan dan ianya membawa motivasi tambahan pada kami agar beraksi lebih menyengat lagi selepas ini terutama di jentera serangan yang sedikit tumpul.

“Apapun, bagi aksi berikutnya esok (hari ini) menentang Pahang saya akan cuba lakukan sedikit rombakan kerana jelas sekali dalam perlawanan ini penyerang kami kurang efektif. Bagi saya itu kelemahan yang harus kami atasi sekiranya berhasrat untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Kedua-dua pasukan saling mengasak bagi memburu gol awal namun ketumpulan jenteran serangan sedikit menghampakan.

Bersambung separuh masa kedua, MISC-MIFA kembali meneruskan asakan bagi memburu gol dan Haindree Mosroh hampir menemui sasaran, namun percubaan di minit ke-59 itu sedikit tersasar buat melegakan sementara kubu PDRM.

Bagaimanapun, anak buah Ananthan datang lagi, dan hasilnya tiga minit sebelum aksi berakhir tendangan Rozeini di luar kotak penalti terus menuju ke gawang gol yang sudah pun terbuka luas dengan penjaga gawang PDRM Nur Atiqa Lilia Abdullah sekadar terpaku.

Sementara itu, dalam kumpulan A menyaksikan juara bertahan Sabah berpesta gol apabila membelasah Negeri Sembilan 16-0 manakala Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:36 AM