MISC-MIFA meraikan kejayaan memenangi  Piala Tun Sharifah Rodziah.
MISC-MIFA meraikan kejayaan memenangi Piala Tun Sharifah Rodziah.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Bangi: Haindree Mosroh muncul wira Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) apabila penalti yang diambilnya membolehkan pasukannya muncul juara kejohanan bola sepak Piala Tun Sharifah Rodziah selepas menewaskan Sabah 3-2 menerusi penentuan penalti di ketika kedua-dua pasukan sekadar terikat 1-1 sepanjang 90 minit di Padang A, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

MISC-MIFA tampil garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke kubu lawan hingga menyaksikan pemain sayap kiri Dadree Rofinus hampir membuka jaringan namun sepakan leretnya berjaya ditepis keluar penjaga gawang Sabah Nurul Azurin Mazlan.

Bagai tersentak, kesebelasan pemain Sabah bingkas bangkit melancarkan serangan ke kubu MISC-MIFA namun benteng yang dikawal kemas gandingan Rozeini Dusileh dan Eslilah Esar tetap kental bertahan bagi menafikan asakan pelawat.

MISC-MIFA sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan jaringan melalui Esar pada minit ke-15 selepas tonggak pertahanan tengah itu berjaya memperdaya pertahanan lawan menerusi larian solonya namun tindakan penyudah yang lemah sekali lagi menghampakan.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gawang MISC-MIFA, Asma Junaidi membolehkan penyerang Sabah Nor Athirah Mamat mudah menjaringkan gol untuk meletakkan pasukannya mendahului 1-0 ketika babak pertama hampir tamat.

Babak kedua menyaksikan MISC-MIFA meningkatkan tempo perlawanan dengan melakukan asakan bertali arus namun Nurul Azurin yang juga penjaga gawang skuad remaja kebangsaan tenang menggagalkan usaha itu.

Asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil buat MISC-MIFA apabila Siyati Azad bijak mengambil peluang di atas situasi kelam kabut di depan kubu Sabah di minit ke-59 sekali gus mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat masa sebenar.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti dengan tiga pemain Sabah gagal menyempurnakan sepakan masing-masing dan ketika itulah Haindree muncul untuk menjulang MISC-MIFA selaku juara.

Dengan kemenangan itu, MISC-MIFA membawa pulang piala pusingan berserta hadiah wang tunai RM20,000 selaku juara manakala Sabah pula meraih RM10,000 serta RM5,000 untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memenangi perlawanan tempat ketiga.

Sementara itu, anugerah pemain terbaik menjadi milik penjaga gawang Sabah, Nurul Azurin manakala Nor Athirah muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:09 AM