Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) semalam mendesak kerajaan merangka undang-undang untuk menyelaraskan industri pelancongan dengan prinsip Islam.

Gesaan MUI itu dibuat sehari selepas ia mengeluarkan fatwa mengharamkan program insurans kesihatan yang dikendalikan kerajaan.

MUI yang mengadakan kongres tahunan mengenai fatwa minggu ini berkata semalam, industri pelancongan Indonesia perlu berdasarkan syariah bagi mengekang ‘kerosakan akibat daripada pelancongan.’

“MUI mendesak kerajaan merangka undang-undang mengenai hotel, pelancongan dan hiburan yang berlandaskan syariah,” kata MUI dalam kenyataan yang dikeluarkannya.

Menurut majlis itu, pelancongan sepatutnya jauh daripada elemen seperti pelacuran dan arak.

Ia juga menyatakan, perlu ada standard mengenai etika dan tingkah laku yang perlu dikuatkuasakan terhadap pelancong, termasuk larangan berbikini termasuk di pantai.

Kerajaan tidak terikat dengan sebarang fatwa yang dikeluarkan majlis itu.

Bagaimanapun, beberapa pihak berkuasa tempatan yang majoriti penduduknya beragama Islam, menggunakan fatwa berkenaan sebagai panduan untuk menguatkuasakan undang-undang kecil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:13 AM