FOTO YouTube Bayuwangi Ethnic
FOTO YouTube Bayuwangi Ethnic
BERNAMA

Jakarta: Perarakan Ogoh-ogoh, diadakan semasa sambutan Maulidur Rasul, festival Islam dan acara-acara nasional lain di Banyuwangi, Jawa Timur, diisytiharkan sebagai haram atau dilarang dalam Islam oleh sebuah majlis ulama Indonesia.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan pasukan fatwa sebagai tindak balas terhadap peningkatan perarakan Ogoh-ogoh semasa Maulidur Rasul, yang diadakan untuk memperingati usaha Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) Banyuwangi menyampaikan keputusannya melalui surat pada Jumaat lalu, dengan menyatakan perarakan itu, yang menyerupai upacara keagamaan Hindu, menimbulkan reaksi negatif daripada kedua-dua komuniti Muslim dan Hindu.

MUI juga menggesa pemimpin agama dan komuniti untuk melarang penggunaan hiasan bunga telur yang menyerupai patung Ogoh-ogoh dan makhluk menyerupai harimau kumbang dipanggil 'Barongan' dalam perayaan berkenaan.

Ogoh-ogoh ialah miniatur gergasi yang melambangkan makhluk jahat dan diarak mengelilingi kawasan perumahan pada malam 'Hari Nyepi' sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan Hindu sebelum dibakar sebagai simbol pembasmian kejahatan, seperti yang dinyatakan dalam surat berkenaan.

MUI Banyuwangi menegaskan bahawa amalan menghias bunga dengan telur dan mengadakan perarakan Ogoh-ogoh dengan menampilkan miniatur yang menyeramkan seperti gajah dan naga, yang diiringi dengan muzik gamelan Bali, mendapat kritikan daripada kedua-dua pihak, iaitu Muslim dan Hindu.

Oleh itu, organisasi itu menekankan komuniti Muslim di daerah berkenaan supaya membezakan antara aktiviti kebudayaan dan upacara keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 9:18 AM