GAMBAR hiasan, petugas memeriksa satu sambungan elektrik haram yang dibuat penduduk di satu kawasan perumahan di Jakarta.
GAMBAR hiasan, petugas memeriksa satu sambungan elektrik haram yang dibuat penduduk di satu kawasan perumahan di Jakarta.
Agensi

Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) bakal mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan aktiviti mencuri bekalan elektrik yang tidak terkawal di negara itu.

Wakil Sekretariat Bidang Fatwa MUI, Sholahudin Al Aiyub berkata, fatwa berkenaan bakal dikeluarkan dalam masa terdekat kerana masih di peringkat perbahasan antara ulama.

Katanya, MUI melihat secara keseluruhan isu berkenaan sebelum mengeluarkan fatwa bagi mengharamkan aktiviti mencuri elektrik.

“Fatwa yang dikeluarkan nanti bukan saja menyentuh daripada segi hukum agama, tetapi turut mengandungi cadangan sebagai petunjuk kepada pihak berkaitan bagi mencegah aktiviti mencuri elektrik.

“Mengeluarkan fatwa bukan mudah kerana MUI harus teliti dan spesifik dalam melihat sudut masalah serta cadangan dikeluarkan,” katanya.

Seorang lagi wakil sekretariat Bidang Fatwa MUI, Asrorun Ni’an Sholeh berharap fatwa berkenaan mampu membantu Perusahaan Elektrik Negara (PLN) mengatasi masalah kecurian bekalan elektrik.

“Mengambil bekalan elektrik secara tidak sah termasuk dalam kategori mencuri.

“Dalam agama mencuri satu kesalahan dan berdosa,” katanya.

Tambahnya, pendekatan agama efektif bagi mencegah aktiviti yang salah mengikut undang-undang termasuk mencuri bekalan elektrik.

“Fatwa yang bakal dikeluarkan ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengurus Besar PLN Jakarta, Syamsul Huda meminta MUI mengeluarkan fatwa mengharamkan tindakan mencuri bekalan elektrik sebagai langkah mencegah aktiviti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 10:31 AM