WEE Kiong (kiri) dan V Shem buru kejuaraan pertama tahun ini.
WEE Kiong (kiri) dan V Shem buru kejuaraan pertama tahun ini.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas dikecam berikutan prestasi buruk sejak kebelakangan ini terutama pada Sukan SEA Singapura, pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu untuk mendabik dada semula andai muncul juara Grand Prix Terbuka Russia hari ini.

V Shem-Wee Kiong berjaya melangkah ke final selepas menang aksi separuh akhir semalam menumpaskan rakan senegara, Hoon Thien How-Lim Khim Wah 15-21, 21-19, 21-18 dalam perlawanan selama satu jam 15 minit.

Menurut jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, anak buahnya perlu mengekalkan semangat menjelang aksi akhir hari ini apabila mereka berdepan pasangan tuan rumah yang juga pilihan utama, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

“Saya mahu mereka mempamerkan aksi mantap pada perlawanan akhir walaupun dijangka mendapat tentangan sengit pasangan tuan rumah,” katanya ketika dihungi Arena Metro semalam.

Ivanov-Sozonov sama seperti pasangan negara, apabila perlu mengharungi perlawanan sehingga ke set penentuan sebelum mencatat kemenangan 19-21, 21-7, 21-16 ke atas pilihan ketiga dari India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy.

Jika berjaya muncul juara hari ini, ia kejuaraan pertama buat V Shem-Wee Kiong tahun ini selepas kali terakhir mereka berada di pentas final pada Mac lalu sebelum tumpas kepada pasangan China, Cai Yun-Lu Kai 21-19, 14-21, 17-21.

Turut mara ke final beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mendapat kemenangan percuma selepas pasangan tuan rumah, Vitalij Durkin-Nina Vislova menarik diri selepas tumpas 20-22 pada set pertama.

Menanti mereka di pentas akhir ialah pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang tidak berdepan masalah mengalahkan wakil India, Akshay Dewalkar-Prajakta Sawant 21-10, 21-8.

Hasrat Zulfadli Zulkiffli untuk mara ke saingan akhir bagi mencari pembakar semangat ke Kejohanan Dunia di Jakarta bulan depan tidak kesampaian apabila tumpas kepada pemain Estonia, Raul Must 12-21, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:04 AM