V SHEM (kiri) dan Wee Kiong hampiri kejuaraan GP Terbuka AS.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong hampiri kejuaraan GP Terbuka AS.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Wee Kiong semakin menghampiri sasaran muncul juara Grand Prix (GP) Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menumpaskan pasangan Taiwan Chen Hung Ling-Chi Lin Wang pada separuh akhir semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu mengambil masa 39 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 24-22 dalam perlawanan yang berlangsung di Kelab Badminton Orange County.

Halangan terakhir mereka sekarang ini ialah pilihan utama dari Russia Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov yang sebelum itu mengalahkan Bodin Issara-Nipitphon Puangpuapech 14-21, 21-16, 23-21 dalam tempoh 49 minit.

Kejayaan mara ke akhir ternyata sekali menggembirakan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mengharapkan pasangan beregu lelaki utama negara itu muncul juara.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka kerana melangkah ke perlawanan akhir. Sebenarnya itu yang kita harapkan dari mereka untuk memenangi kejohanan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, kejayaan muncul juara sangat penting buat V Shem-Wee Kiong dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Saya rasa buat masa sekarang mereka sangat memerlukan mata paling maksimum. Sekarang ini pasangan bebas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dilihat mempunyai kelebihan berbanding mereka.

“Bagaimanapun, kami mahu kedua-dua gandingan ini layak ke Olimpik. Jadi V Shem-Wee Kiong tidak ada cara lain iaitu harus muncul juara di Amerika Syarikat,” katanya yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

V Shem-Wee Kiong yang pernah memenangi gangsa di Sukan Asia Incheon 2014, mempamerkan aksi kurang konsisten tahun ini terutama ketika beraksi di beberapa kejohanan besar apabila sering tersingkir pada pusingan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:06 AM