BEREGU lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas 17-21, 21-19, 15-21 kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. FOTO Eizairi Shamsudin
BEREGU lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas 17-21, 21-19, 15-21 kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah


BEREGU lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terus bergelut dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan sejak Disember 2016 apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan kelapan kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 17-21, 21-19, 15-21.

“Lawan mereka hari ini bermain sangat baik terutama set ketiga, mereka lebih berani dan mengawal permainan. Mereka juga nyata lebih baik mengawal gelanggang dengan keadaan angin yang laju,” kata jurulatih lelaki, Paulus Firman ketika dihubungi.

“Apabila pulang nanti, saya akan buat penilaian mengenai prestasi V Shem-Wee Kiong. Selepas ini mereka tidak akan menyertai mana-mana kejohanan dan mereka akan menjalani latihan sepenuhnya bagi persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Nanjing bulan depan.”

Minggu lalu, V Shem-Wee Kiong terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia.

Turut tersingkir ialah beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada juara Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 11-21, 14-21.

Kian Meng-Pei Jing turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama pada Terbuka Malaysia minggu lalu.

Kekecewaan dua pasangan utama negara itu bagaimanapun ditebus beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen yang mara ke pusingan kedua hasil kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Yulfirah Barkah-Nitya Krishinda Maheswari 21-18, 21-19.

Mereka yang tampil sebagai gandingan pecahan akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 7:31 PM