BEKAS pemain badminton negara, Datuk Razif Sidek mahu beregu negara bangkit. Foto fail
BEKAS pemain badminton negara, Datuk Razif Sidek mahu beregu negara bangkit. Foto fail
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek menuntut gandingan negara menjadikan 2018 sebagai tahun kebangkitan selepas memperagakan prestasi kurang memberangsangkan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, tiada alasan mereka gagal menyerlah selepas mendapat bimbingan jurulatih berpengalaman seperti Cheah Soon Kit dan Rosman Razak.

Katanya, perkara terbaik buat mereka yang berada dalam skuad kebangsaan sekarang ialah sentiasa belajar bukan saja memantapkan permainan sendiri tetapi turut mengkaji kekuatan lawan.

“Saya nasihatkan mereka supaya kurang melakukan kesilapan dan paling penting sekali menjaga kedudukan ranking. Setiap pemain harus mempunyai semangat juang untuk sentiasa memburu kemenangan,” katanya yang pernah membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992.

Jelasnya, penggabungan semula Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga satu berita baik buat negara, dengan harapan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dapat kembali menemui semula sentuhan.

“Saya harap mereka mampu beraksi dengan baik dan beregu kita memang sentiasa digeruni negara lain. Mana-mana beregu negara lain memang takut untuk berdepan pasangan kita dan saya harapkan mereka berjaya membentuk kembali persefahaman.

“Setakat ini berdasarkan pengalaman lalu, mereka masih lagi gandingan terbaik negara. Segala masalah sehingga memaksa mereka dipisahkan diharap dapat diselesaikan dengan baik. Beraksi seperti sebelum ini sehingga berjaya mencatatkan kemenangan,” kata Razif.

Ujarnya, V Shem-Wee Kiong masih lagi gandingan yang sentiasa dihormati pihak lawan dan penggabungan semula mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan.

V Shem-Wee Kiong berjaya mara sehingga ke separuh akhir dalam aksi Thailand Masters minggu lalu dan untuk perlawanan pusingan pertama Malaysia Masters, esok mereka bakal berdepan pilihan ketujuh dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 7:46 PM