Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng (gambar) mara ke pusingan kedua Grand Prix Terbuka Russia selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Vladimir Ivanov 21-15, 21-19 semalam.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura itu akhirnya berjaya menamatkan badi tumpas pada pusingan awal apabila sebelum ini dia tersingkir pada GP Terbuka Kanada dan GP Emas Terbuka Taiwan.

“Sebelum ini saya bergelut untuk mencari rentak terbaik dan keadaan fizikal saya juga tidak berapa bagus. Saya gembira akhirnya berjaya mencatat kemenangan pada pusingan pertama,” kata pemain kelahiran Sungai Petani itu.

Jelasnya, Ivanov bukan pemain yang lemah dan mengakui dia amat berhati-hati ketika berdepan lawan.

“Kemenangan ini sudah pasti meningkatkan keyakinan saya tapi saya tidak boleh memandang mudah perlawanan lain selepas ini. Saya harus fokus dan menganggap setiap perlawanan seolah-olah seperti saingan akhir,” katanya.

Wei Feng akan bertemu pemain Republik Czech, Jan Frohlich hari ini, manakala seorang lagi pemain perseorangan, Zulfadli Zulkiffli juga berjaya melepasi pusingan pertama mengalahkan pemain Russia, Grigoriy Martynenko 21-7, 21-3.

Dalam acara beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menumpaskan pasangan tuan rumah, Rodion Kargaev-Anatoliy Yartsev 21-14, 21-15 dan berdepan gandingan Kazakhstan, Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov pada pusingan kedua hari ini.

Turut mara ialah pasangan beregu lelaki nombor dua negara, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang apabila pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge menarik diri.

Mereka akan bertemu bekas pasangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoon Thien How-Lim Khim Wah, yang sebelum itu mengalahkan wakil Russia, Evgenij Dremin-Denis Grachev 21-19, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:23 AM