V SHEM (kanan) dan  Wee Kiong tekad beri tentangan sengit.
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong tekad beri tentangan sengit.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejohanan Grand Prix Terbuka Russia bermula hari ini amat bermakna buat pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk bangkit semula selepas aksi kurang memuaskan dalam empat kejohanan terakhir mereka.

Beregu utama negara itu sekali lagi gagal mara jauh pada GP Emas Terbuka Taiwan apabila terkandas pada pusingan kedua minggu lalu susulan aksi hambar pada Siri Super Terbuka Australia (Mei) dan Siri Super Premier Terbuka Indonesia (Jun).

Menurut jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, anak buahnya itu semakin mempamerkan peningkatan walaupun mereka sekali lagi tersingkir pada pusingan kedua di Taipei minggu lalu.

“Saya menasihatkan mereka untuk terus berfikiran positif kerana tugas sebagai pemain mahupun jurulatih adalah berkhidmat kepada negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain tiga kejohanan itu, V Shem-Wee Kiong juga sebelum ini tersingkir pada pusingan pertama Sukan SEA Singapura apabila tumpas kepada pasangan Indonesia, Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

“Setakat ini kami perlu menerima segala pandangan baik positif ataupun negatif. Kami seharusnya sentiasa memberikan yang terbaik untuk negara pada kejohanan akan datang termasuk Terbuka Russia.

“Saya harap tahap keyakinan mereka mampu diperbaiki dan kedua-dua pemain ini harus mempunyai sifat saling mempercayai antara satu sama lain,” ujar bekas pemain negara itu.

Penurunan prestasi V Shem-Wee Kiong turut mendapat perhatian Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan beliau mahu pasangan itu bangkit segera.

V Shem-Wee Kiong akan turun pada pusingan pertama esok bertemu pasangan tuan rumah, Rodion Kargaev-Anatoliy Yartsev dan halangan sukar berkemungkinan di suku akhir bertemu beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Tien Tzu Chieh.

Berdasarkan undian mereka dilihat mampu mara ke saingan akhir dengan syarat melepasi halangan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge yang juga pilihan keempat kejohanan.

Sebelum ini V Shem berjanji untuk memburu kejuaraan di Russia seterusnya meraih semula kepercayaan semua pihak.

Turut beraksi pada Terbuka Russia perseorangan lelaki, Chong Wei Feng, Zulfadli Zulkiffli, beregu lelaki, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 7:51 AM