AKSI Messi  ketika separuh akhir. FOTO AP
AKSI Messi ketika separuh akhir. FOTO AP

Concepcion (Chile): Lionel Messi bermain peranan penting dalam membantu Argentina berpesta gol dan menewaskan Paraguay 6-1 pada perlawanan separuh akhir Copa America, pagi tadi.

Bintang Barcelona itu mempamerkan aksi individu penuh bersemangat dan skuad Agentina menampilkan corak permainan terbaik dalam kejohanan ini untuk bertemu dengan Chile pada final, Sabtu ini.

Walaupun Messi gagal mengakhiri tempoh 900 minit tanpa gol antarabangsa, corak permainannya membuka peluang bagi rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol.

Gol Argentina dijaringkan oleh Angel Di Maria (2), Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain.

Messi jelas berpuas hati dengan aksi separuh akhir itu selain bakat benteng penyerang Argentina yang akhirnya menyerlah menjelang final.

"Kami bermain dengan bagus setakat ini. Kami percaya selepas gol pertama, lebih banyak lagi akan dijaringkan dan itulah apa yang berlaku," katanya.

Messi turut dinobatkan pemain terbaik bagi perlawanan itu.

Argentina bertekad untuk menang Copa America tahun ini untuk meraih kejohanan unggul pertama dalam 22 tahun.

Tahun lalu, Argentia mengakhiri kempen Piala Dunia di tempat kedua.

"Paling penting, kami sudah mencapai objektif pertama, iaitu mara ke final. Sekarang, kami hanya perlu menang Copa America," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 11:04 AM