MESSI (tengah) mahu rakan sepasukan tampil bersemangat buru Piala Dunia.
MESSI (tengah) mahu rakan sepasukan tampil bersemangat buru Piala Dunia.
Reuters

MADRID: Lionel Messi percaya skuad Argentina perlu memperbaiki prestasi mereka jika ingin berpeluang menjulang trofi Piala Dunia tahun depan di Russia.

Argentina yang melangkah ke final edisi 2014 bergelut dalam kempen ke Russia apabila memecat tiga jurulatih sebelum mengesahkan tempat dibantu jaringan hatrik Messi ketika menang 3-1 ke atas Ecuador di perlawanan terakhir pusingan kelayakan.

Messi yang juga kapten Argentina akan mempulakan kempen di Russia menentang Iceland pada 16 Jun sebelum bertemu Croatia dan Nigeria bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan.

Piala Dunia tahun depan mungkin adalah peluang terakhir buat Messi, 30, untuk menjuarai gelaran utama bersama Argentina dan penyerang Barcelona itu berkata mereka perlu berubah untuk mengatasi negara-negara yang hebat.

“Kami mendapat masa yang sukar (ketika kelayakan), namun kami berjaya mengharunginya,” kata Messi kepada TyC Sports.

“Tetapi benar yang kami perlu meningkat jika mahu menjadi juara dunia. Ketika ini, kami tidak begitu jauh tetapi ada pasukan yang lebih baik seperti Brazil, Jerman, Perancis dan Sepanyol.”

Selain tewas kepada Jerman di final 2014, Argentina juga ditewaskan sebanyak dua kali oleh Chile dalam final Copa America pada 2015 dan 2016.

Messi begitupun percaya mereka sepatutnya meraikan sekurang-kurangnya dua kejayaan.

“Saya tidak pernah mengimbau kembali perlawanan final berkenaan (kami tewas). Kami layak untuk memenanginya, dan meskipun kami tidak bermain dengan baik, kami masih memperoleh peluang yang hebat, kedua-duanya di Piala Dunia dan Copa America,” katanya.

“Saya perlu melihat perlawanan itu kembali untuk melihat sama ada kami tidak melakukan perkara yang betul untuk menang, tetapi di sini saya percaya mereka sepatutnya menang sekurang-kurang dua daripadanya.”

Messi dan rakan sepasukannya mempunyai hubungan yang keruh dengan media Argentina dan sudah melakukan boikot sejak 12 bulan lalu kerana percaya mereka menerima layakan tidak adil.

“Kritikan sudah melampau dan mengatasi apa yang dikatakan normal dan menjadi peribadi,” katanya. “Kepahitan yang kami rasai adalah kerana kami tahu apa yang akan berlaku jika perkara tidak menjadi seperti sepatutnya buat kami.

“Orang mahukan keputusan dan jika mereka tidak mendapatnya, mereka mahukan darah yang segar. Kami tidak melihatnya seperti itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 1:03 AM