AFP

Santiago: Pertarungan mendebarkan di antara dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar menjadi tarikan Copa America sebaik kejohanan bola sepak tiga minggu itu bermula di Chile, hari ini.

Satu daripada kejohanan paling dinantikan bermula di Santiago, apabila pasukan tuan rumah menentang Ecuador dalam aksi Kumpulan A dalam misi memburu kejuaraan Copa buat pertama kali.

Sejumlah bintang yang berpangkalan di Eropah akan menunjukkan aksi mereka di Chile termasuk kapten Argentina Messi dan rakannya di Brazil Neymar, James Rodriguez dari Colombia, bintang Chile Alexis Sanchez serta penyerang Uruguay Edinson Cavani.

Messi dan Neymar tiba ke kejohanan itu kurang seminggu selepas membantu juara Sepanyol Barcelona menjulang Liga Juara-Juara yang menamatkan musim gemilang dengan tiga kejuaraan.

Kedua-dua penyarung jersi nombor 10 itu membawa beban berat dengan Messi bersungguh-sungguh mahu menikmati kejayaan di kejohanan antarabangsa itu manakala Neymar bertekad mahu memadamkan kekecewaan Brazil di Piala Dunia.

“Saya berada di tahap lebih baik menjelang kejohanan ini berbanding ketika Piala Dunia tahun lalu,” kata Messi di kem latihan Argentina.

Messi dan Argentina hampir menjulang Piala Dunia, tewas 0-1 kepada Jerman pada masa tambahan, masih dahagakan kejuaraan yang kali terakhir dijulang pada Copa America 1993.

Messi mengakui skuad Argentina yang kaya dengan pemain berbakat dibarisi pemain seperti Carlos Tevez, Sergio Aguero dan Angel di Maria bertekad mengakhiri penantian panjang Albiceleste untuk menjulang piala.

“Generasi ini mahukan kejuaraan bersama pasukan kebangsaan.

Bintang Manchester City, Aguero memberi komen lebih berani: “Jika generasi ini tidak menang apa-apa kami akan menyesal seumur hidup.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 12:21 PM